Covid-19: Tiga Kematian, Satu Kluster Baharu Di Sabah

KOTA KINABALU: Sebanyak 616 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan satu kluster baharu iaiti kluster Softwood LD.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak tiga lagi kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini dan semua kes kematian berlaku di Hospital Queen Elizabeth.

Kesemua pesakit berusia antara 51 hingga 62 tahun dan mempunyai sejarah penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok.

Dengan itu, kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 282 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 147 kes.

Untuk hari ini, sebanyak 1,168 kes baharu dilaporkan di Malaysia. Daripada jumlah itu, sebanyak 104 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sebanyak empat kluster baharu dilaporkan hari ini termasuk kluster Softwood Lahad Datu dengan 11 kes positif baharu. Kluster lain adalah kluster Teratai, Selangor serta kluster Tapak Bina Damanlela dan kluster Mahkota di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bilangan kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 1,029 kes, dengan bilangan kumulatif kes pulih adalah sebanyak 27,409 kes.

Tambahan 1,168 kes baharu itu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 39,357 kes. Sebanyak 11,666 kes aktif dengan 87 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 32 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpostv

1514