Belanjawan 2021 ‘Cincai’, – Angkatan Muda Keadilan Sabah

Razeef Rakimin

KOTA KINABALU : Angkatan Muda Keadilan Sabah terkilan apabila Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) diwujudkan semula dengan pemberian peruntukan sehingga 270 peratus lebih daripada peruntukan dahulu di era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin turut menganggap belanjawan yang dibentangkan semalam adalah belanjawan ‘cincai’ atau tidak teliti serta tidak jelas.

Menurutnya, peruntukan kepada JASA yang berjumlah RM81 juta dibentangkan semalam menerusi Belanjawan 2021 dilihat sebagai satu pembaziran ketika negara sedang berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Saya meneliti Belanjawan 2021 yang dibentangkan dan kenyataan saya bukan untuk mempolitikkan Belanjawan 2021, namun kita dapat melihat dengan jelas kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak serius dalam menyediakan belanjawan apabila ia dilihat seperti belanjawan kitar semula dan tidak jelas.

“Saya ingin merujuk kepada peruntukan JASA yang berjumlah RM81 juta. Sebelum tumbangnya kerajaan BN, peruntukan tertinggi pernah diberikan kepada JASA adalah sebanyak RM30 juta iaitu pada Belanjawan 2018.

“Saya dimaklumkan JASA hanya alat propaganda kerajaan dengan 300 orang pekerja, namun dimansuhkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana dilihat sebagai membazir dan tidak menguntungkan rakyat mahupun negara.” katanya.

Razeef berkata, kerajaan PN sepatutnya lebih fokus kepada isu semua lapisan masyarakat selain pemulihan ekonomi negara.

“Ini kerana semua pihak terjejas ekoran wabak koronavirus (Covid-19) yang dilihat semakin serius.

“Semalam sebanyak 1,199 kes positif Covid-19 baharu dilaporkan di Sabah sahaja. Ini kes positif untuk tempoh 24 jam dan bukan seminggu mahu pun sebulan.

“Di sini kira boleh lihat ia akan mengambil masa yang lama untuk pulih maka kita perlukan belanjawan untuk jangka masa panjang dan bukan hanya pemberian ‘one off’ sebagai ‘halwa telinga’,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memberikan elaun khas secara ‘one off’ untuk petugas barisan hadapan (frontliners) sebanyak RM500 kepada 100,000 petugas kesihatan.

Katanya, ini bermakna hanya RM50 juta diperuntukkan buat petugas barisan hadapan yang bertarung nyawa melawan wabak Covid-19, namun JASA diperuntukkan sebanyak Rm81 juta. Bukankah nampak tidak adilnya di situ?

“Begitu juga dengan lanjutan moratorium yang amat diharapkan rakyat. Banyak pihak terkesan dari segi pendapatan sama ada gaji dikurangkan, diberi cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja malah peniaga turut terkesan dari segi pendapatan.

“Lanjutan pembayaran balik pinjaman atau moratorium sangat membantu rakyat kerana menaikkan bantuan ‘one off’ kepada rakyat tidak mampu mengurangkan beban rakyat untuk membayar semula pinjaman ketika rakyat kurang atau tiada pendapatan.

“Kita juga tidak melihat keistimewaan kepada golongan mahasiswa, petani, nelayan, orang kurang upaya (OKU), orang asal, wanita dan pelbagai golongan lagi yang memerlukan lebih insentif kerana terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Razeef berkata, peruntukan Belanjawan 2021 merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM322.54 bilion atau 10.6 peratus lebih tinggi daripada belanjawan 2020, namun tidak jelas bagaimana pertambahan peruntukan ini boleh membantu rakyat yang terkesan dan bagaimana inisiatif yang diumumkan dapat memulihkan ekonomi negara.

“Begitu juga peruntukan untuk dua wilayah di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak. Walau mempunyai keluasan yang hampir sama dengan Semenanjung, namun peruntukan yang diberikan kepada Sabah hanya RM5.1 bilion dan Sarawak RM4.5 bilion menjadikan jumlah keseluruhan RM9.6 bilion jika dibandingkan dengan Semenanjung.

“Sepatutnya ada peningkatan agar Sabah dan Sarawak tidak terus tercicir dari segi pembangunan infrastruktur seperti di Semenanjung, namun Belanjawan 2021 kali ini jelas mengecewakan,” katanya.

Sehubungan itu, Razeef menyeru ahli Parlimen bukan sahaja pembangkang malah di blok kerajaan supaya menolak belanjawan ini.

“Kita perlukan satu belanjawan yang efisien bagi membantu rakyat serta memulihkan ekonomi. Jika blok pembangkang mampu memberikan belanjawan yang lebih baik kenapa kita perlu menyokong belanjawan kerajaan yang dilihat lebih menguntungkan pihak tertentu dan bukan rakyat secara keseluruhannya.

“Ini bukan masa untuk bermain politik tapi ini masa untuk kita berikan yang terbaik kepada rakyat dan negara untuk jangka masa panjang dan bukan hanya kelebihan untuk suku pertama tahun 2021.

“Maka sekali lagi saya menyeru ahli Parlimen menolak belanjawan ‘cincai’ yang dibentangkan kerajaan PN,” katanya.- SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *