B40, M40 Lega Dapat Bantuan Tunai, Boleh Keluar Akaun 1 KWSP

Murni (depan) bersama anaknya Nur Alliya dan Nur Fathiaah Hairullisham sedang menonton siaran langsung Belanjawan 2021 di kediaman mereka di flat PKNS Kerinchi.

PETALING JAYA: Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), kebenaran mengeluarkan simpanan Akaun 1 KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk 12 bulan dan lanjutan moratorium ternyata memberi kelegaan kepada golongan B40 dan M40.

Tinjauan FMT di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan flat di sekitar Kerinchi dan Pantai Dalam dekat sini, mendapati ramai yang berasa teruja selepas mendengar pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat, petang semalam.

Ini kerana kehidupan mereka antara yang terkesan teruk akibat penularan wabak Covid-19 sehingga menjejaskan pendapatan, malah ada yang hilang pekerjaan.

Bagi Mohamad Majid Salleh, bantuan BPR sehingga RM1,800 yang diumumkan kerajaan cukup bermakna buat beliau yang baru kehilangan pekerjaaan.

Katanya, bantuan itu sekurangnya-kurangnya mampu menampung keluarganya untuk mendapatkan bekalan asas untuk tempoh 9 bulan.

“Kalau saya guna semua RM1,800 yang diberi itu untuk beli barang keperluan asas dapur, sebagai contoh, saya belanja RM2,00 setiap bulan, maka RM1,800 boleh bertahan sampai 9 bulan.

“Jadi saya boleh pastikan dapur rumah masih berasap, anak-anak dan isteri tidak sampai ke tahap kena ikat perut,” katanya.

Murni Md Yusof, yang juga seorang ibu tunggal berkata, bantuan RM1,800 itu boleh dijadikan sebagai simpanan kecemasan untuk rawatan di hospital.

Haris Baba, pengerusi pangsapuri Kerinchi 17 turut mengikuti pengumuman Belanjawan 2021, semalam.

Empat tahun lalu, suami Murni diserang penyakit jantung meninggalkan beliau bersama 3 orang anak.

“Memang jumlah itu nampak tidaklah banyak, tapi bagi golongan macam kami ini, ia cukup bernilai, sebab boleh guna untuk bayar bil dan disimpan untuk masa sakit,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan kuih dan kek secara kecil-kecilan.

Sementara itu, bagi Abdul Radzi Sulaiman, bantuan BPR membolehkan beliau membuat modal awal membuka gerai secara kecil-kecilan selepas hilang pekerjaan sebagai pemandu lori berikutan kilang ditempat kerjanya gulung tikar.

“Kerajaan juga umum benarkan pengeluaran akaun 1 KWSP, RM500 sebulan kalau setahun RM6,000 jadi boleh saya buat modal berniaga untuk sementara tunggu keadaan ekonomi kembali pulih,” katanya.

Bagi anak muda, Mohamad Khairul Hafiz pula, keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran RM500 sebulan menerusi akaun 1 KWSP membolehkannya membayar ansuran bulanan sewa rumah dan kereta.

Penduduk pangsapuri Kerinchi 17 tidak melepaskan peluang mengikuti perkembangan Belanjawan 2021 dengan harapan ia membela nasib mereka.

“Bila PKP, gaji kena potong, tanggungan pula masih banyak. Bila kerajaan umum boleh keluar KWSP saya akan guna untuk bayar ansuran bulanan rumah dan kereta, sebab kerajaan umum hanya lanjut moratorium 3 bulan sahaja,” katanya.

Pengerusi pangsapuri 17 Kerinchi, Haris Baba, tidak menafikan golongan B40 dan M40 banyak mendapat manfaat, tetapi melihat belanjawan itu tertumpu secara menyeluruh.

Katanya, beliau bagaimanapun menyambut baik cadangan mewujudkan pusat komuniti sebagai tempat jagaan anak-anak selepas tamat sesi persekolahan secara percuma.

“Kalau boleh di kawasan flat, PPR, diwujudkan pusat-pusat ini, ia sangat membantu penduduk termasuk meringankan kos perbelanjaan untuk membayar jika dihantar ke pusat jagaan swasta,” katanya.

Seorang lagi anak muda, Nur Fathiaah Hairullisham, berkata bantuan BPR sebanyak RM350 bagi golongan bujang sepertinya boleh digunakan untuk membayar kos pengangkutan ke tempat kerja.

Beliau juga berharap menerusi peruntukan semalam, kerajaan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang lebih baik untuk anak muda termasuk meletakkan syarat gaji minimum RM1,800.

“Kalau nak hidup di ibu kota ini, paling tidak gaji tak boleh kurang RM1,800, sebab kena bayar rumah sewa, pengangkutan, internet dan sebagainya,” katanya sambil menyambut baik usaha kerajaan meningkatkan tahap capaian internet bagi golongan berpendapatan rendah.

Beliau juga berharap kerajaan membantu pekerja swasta termasuk berstatus kontrak wajib diberi perlindungan caruman KWSP, Perkeso serta kemudahan perubatan.

“Kalau kerja kontrak, tak banyak kemudahan yang dapat. Kadang-kadang nak menyimpan tak cukup, jadi kalau ada KWSP sekurangnya ada jaminan masa depan,” katanya,

Kehidupan keluarga berpendapatan rendah dengan isi rumah diketuai wanita dan orang kurang upaya (OKU) dilaporkan terjejas teruk selepas berakhirnya PKP pada Mei lalu.

Laporan terbaru Unicef yang melibatkan tinjauan terhadap 500 penghuni rumah pangsa kos rendah di Lembah Klang itu mendedahkan mereka masih berdepan kekurangan pendapatan masing-masing sebanyak 9% dan 24% berbanding tahun lepas.

Semalam, kerajaan mengumumkan sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan untuk Belanjawan 2021, iaitu RM25.5 bilion lebih banyak daripada tahun lalu yang berjumlah RM297 bilion.

Antara yang menarik perhatian golongan B40 dan M40 ialah BPR yang menyediakan bantuan tunai antara RM500 hingga RM1,800 bagi isi rumah mengikut pendapatan dan bilangan anak.

Selain itu, pencarum dimudahkan untuk mengeluarkan simpanan Akaun 1 KWSP “secara bersasar” sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan bagi membantu pencarum yang hilang pekerjaan serta lanjutan moratarium bagi kumpulan tertentu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *