WARISAN Kenal Pasti Calon PRK Batu Sapi

Naib Presiden Warisan Jaujan Sambakong (3 dari kanan) bersama pemimpin Warisan Plus membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, hari ini.

KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan, Jaujan Sambakong berkata, parti itu sudah mengenal pasti calon yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi bagi pilihan raya kecil (PRK) yang dijadualkan pada 5 Disember depan.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identity calon berkenaan dengan berkata, ia akan diumumkan presiden parti itu, Shafie Apdal sebelum hari penamaan calon.

“Nanti presiden akan buat kenyataan sebab kita pun ada (parti) komponen kita juga dalam Warisan Plus. Kita akan bincangkan.

“Dari segi persiapan pula, sebagai parti politik sudah pastinya kami sentiasa bersedia,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Karamunsing di sini, hari ini.

Jaujan berkata, pihaknya turut menjangka Warisan tidak akan diberi peluang untuk menang tanpa bertanding pada PRK itu nanti.

“Dalam sejarah pilihan raya di Sabah belum ada lagi pertandingan secara percuma. Dalam pengalaman kita 60 tahun ini, jangan katakan pilihan raya umum, PRK pun sentiasa ada pertandingan.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sudah keluarkan kenyataan, PRK Batu Sapi tetap diteruskan, bermakna ada pertandingan,” katanya.

SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK itu pada 5 Dis, manakala 23 Nov dan 1 Dis masing-masing sebagai tarikh penamaan calon serta pengundian awal.

PRK Batu Sapi diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen berkenaan susulan kematian penyandangnya, Liew Vui Kong pada 2 Okt lalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) dan beberapa parti lain, termasuk PBS, DAP serta Parti Cinta Sabah mengumumkan tidak akan bertanding pada PRK itu selepas mengambil kira keadaan wabak Covid-19 di Sabah ketika ini.

Bagaimanapun, Perikatan Nasional (PN) sehingga kini belum membuat kenyataan rasmi sama ada akan bertanding atau tidak.

Terdahulu, Jaujan yang mengetuai pemimpin Warisan Plus membuat laporan polis berhubung kenyataan sebuah portal yang mendakwa kerajaan terdahulu pimpinan Warisan mengeluarkan pas sementara Sabah (PSS) kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu.

“Dalam kenyataan portal terbabit, mereka mendakwa menteri dalam negeri (Hamzah Zainuddin) berkata, lambakan PATI di Sabah ketika ini adalah disebabkan kerajaan Warisan mengeluarkan PSS dan IMM13.

“Ini satu perkara yang tidak betul, berunsurkan fitnah. Warisan tidak pernah berbuat demikian dan kami harap pihak polis menyiasat dakwaan ini kerana ia perkara yang serius,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *