Pertimbang PKPB Di Sabah

Datuk Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir 9 November ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, ia berikutan kes positif Covid-19 di Sabah masih tinggi.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri perlu mendapatkan pandangan dan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berhubung perkara itu.

“Berdasarkan laporan JKNS, jumlah kes positif baharu Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 1,199 kes. Jumlah kumulatif ialah sebanyak 19,282 kes. Hari ini satu kes kematian dicatatkan iaitu di Sandakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Masidi berkata, daripada 1,199 kes positif Covid-19 hari ini, sebanyak 556 kes adalah berpunca daripada Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dan Kluster Penjara Sandakan, manakala selebihnya iaitu 643 kes adalah daripada lain-lain kategori.

“Tawau merekodkan kes tertinggi sebanyak 467 kes, dengan 372 kes adalah daripada Kluster PTS Tawau.

“Daerah Sandakan pula, mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu sebanyak 389 kes pada hari ini. Jumlah ini disumbang oleh Kluster Penjara Sandakan sebanyak 184 kes.

“Pada hari ini juga, ada satu kluster baharu di Keningau iaitu Kluster Mempulut yang mencatatkan sebanyak 28 kes berkaitan dengan kenduri arwah,” katanya.

Menteri Kewangan II itu berkata, kerajaan negeri juga sedang memperhalusi cadangan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) PKPB di seluruh Sabah khususnya berkaitan dengan sektor ekonomi.

“Ini khususnya berkaitan dengan sektor yang berkenaan seperti makan atau ‘dine-in’ di restoran, perkhidmatan perhotelan, penetapan kapasiti penumpang perkhidmatan bas henti-henti dalam daerah, aktiviti riadah dan sukan yang tidak bersentuhan secara fizikal.

“Cadangan ini akan dibawa untuk pertimbangan oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 yang akan bersidang, esok,” katanya.

JKNS juga katanya, sedang mengawal penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat manakala kes yang tinggi dilaporkan daripada hasil siasatan kontak rapat, dan juga penularan jangkitan di dalam pusat tahanan.

“Perkhidmatan perubatan yang disediakan di hospital adalah masih di tahap yang optimum dan semua kes Covid-19 diberikan rawatan yang sewajarnya,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

15418