Peranti Rokok Elektronik Akan Dikenakan Cukai

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa 1 Januari tahun depan, kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar ‘ad valorem’ (mengikut nilai) 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain itu, cecair rokok elektronik akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per mililiter.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah bagi meningkatkan kutipan hasil negara termasuk membasmi aktiviti penyeludupan terutama barangan berduti tinggi.

“Mulai 1 Januari tahun depan, kerajaan akan membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu.

“Selain itu, memperketat pembaharuan lesen import rokok melalui semakan semula syarat lesen termasuk mengenakan kuota import,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan mengehadkan aktiviti penghantaran (transhipment) rokok kepada pelabuhan tertentu sahaja.

Katanya, cukai dengan kemudahan pulang balik (drawback) ke atas semua rokok import bagi tujuan penghantaran dan eksport semula akan dikenakan.

“Pada masa sama, kerajaan tidak membenarkan aktiviti penghantaran barang dan eksport semula rokok menggunakan bot kumpit.

“Selain itu, mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua Pulau Bebas Cukai,” katanya.

Sejajar dengan itu, Tengku Zafrul berkata, pasukan petugas pelbagai agensi (MATF) akan diperkasa dengan penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *