Semoga Inspektor Kusmass Cepat Sembuh

Penerbangan  ihsan oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM bagi membawa Kusmass yang terlibat kemalangan ketika sedang bertugas. Gambar Facebook Eastern Sabah Security Command -Esscom

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melaksanakan penerbangan ihsan bagi membawa seorang pegawai yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di sini, untuk meneruskan rawatan di kampungnya di Keningau.

Pegawai berkenaan, Inspektor Kusmass Enos, 32, cedera selepas keretanya terbabas di Batu 6 di sini, ketika dalam perjalanan dari Ranau ke Sandakan untuk bertugas pada 1.55 tengah hari, 10 Oktober lalu.

Menurut isterinya yang merupakan Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau Inspektor Sherly Simon, suaminya yang berasal dari Kampung Sungoi, Apin-Apin akan menjalani fisioterapi di Hospital Keningau dan juga rawatan tradisional.

“Doktor sukar untuk memberi harapan kepada kami sekeluarga kerana suami saya mengalami pendarahan di bahagian penting otak yang mengawal pergerakan dan pernafasan.

“Namun, keadaan suami bertambah baik dan boleh bergerak dengan bantuan, namun pertuturannya masih lemah…kami amat bersyukur,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pangsapuri IPD Sandakan di sini.

Ketua Staf Bahagian Operasi Darat Esscom Senior Asisten Komisioner M Chandra yang turut hadir menyaksikan penerbangan ihsan oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM itu berkata, ESSCOM amat prihatin dengan keadaan Kusmass yang terlibat kemalangan ketika sedang bertugas.

“Daripada awal lagi sejak mengetahui keadaan yang menimpa Inspektor Kusmass, pihak ESSCOM telah meminta bantuan daripada IPD Sandakan yang menyediakan tempat penginapan dan pengangkutan untuk keluarganya.

“Kami berdoa agar Inspektor Kusmass cepat sembuh dan dapat kembali bertugas,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *