UMNO Syor Pengeluaran Akaun 1 KWSP, Moratorium Bersasar

Ahmad (tengah), Noh (kanan) dan Asyraf menunjukkan Memorandum Suara Rakyat bagi Belanjawan Negara 2021. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: UMNO mencadangkan pengeluaran dari Akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan meneruskan pemberian moratorium pembayaran pinjaman secara bersasar dalam Belanjawan 2021.

Cadangan itu sebahagian daripada 130 syor dalam Memorandum Suara Rakyat oleh parti berkenaan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini.

Ia disampaikan empat wakil UMNO, diketuai Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu,Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Ahmad berkata, jumlah pengeluaran caruman Akaun 1 boleh ditentukan oleh KWSP dan tidak semestinya RM10,000 seperti yang dicadangkan sebelum ini.

“Rakyat juga mahu bank melanjutkan tempoh pemberian moratorium secara automatik atau bersasar. Pada pandangan saya, secara bersasar lebih sesuai,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ahmad berkata perjumpaan mereka bersama Tengku Zafrul selama satu jam setengah itu berlangsung dengan positif.

“Asyraf banyak beri cadangan daripada Pemuda (UMNO) dan pengumpulan data daripada rakyat, manakala Zambry dan Noh pula masing-masing ada pengalaman sebagai bekas menteri besar dan bekas menteri.

“Sudah tentunya mereka beri maklumat penting dan cadangan untuk menteri kewangan mempertimbang sewajarnya untuk Belanjawan 2021.

“Saya fikir perjumpaan dengan semua pihak kaedah yang baik, dan diharapkan selepas ini untuk belanjawan akan datang, kita dipanggil sebulan sebelum dan bukannya seminggu sebelum seperti ini.

“Tempoh sebulan itu membolehkan pihak kementerian dapat meneliti cadangan yang dikemuka dengan baik,” katanya.

Mengenai moratorium bayaran balik pinjaman, katanya beliau berpandangan ia lebih sesuai diberikan secara bersasar berbanding secara automatik memandangkan negara ini terdiri daripada tiga kumpulan pendapatan iaitu golongan berpendapatan tinggi T20, sederhana M40 dan rendah B40.

Dalam pertemuan itu, Ahmad berkata turut dibangkitkan isu pengangguran dan inisiatif bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2020.

Katanya ketika ini terdapat 740,000 penganggur di negara ini dengan kadar pengangguran meningkat daripada kira-kira tiga peratus kepada 5.4 peratus akibat penularan wabak COVID-19.

“Ini bererti ada 240,000 penganggur baharu sejak COVID-19, jadi inisiatif untuk membantu mereka yang kehilangan kerja adalah amat penting selain membuka peluang pekerjaan baharu. Seramai 240,000 penganggur baharu ini amat tertekan kehidupan mereka,” katanya.

Selain itu, Ahmad berkata UMNO turut menekankan mengenai pembangunan mesra rakyat di seluruh negara terutamanya di luar bandar yang perlu diutamakan dalam Belanjawan 2020.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi melalui hantaran di laman Facebooknya menyenaraikan 10 cadangan utama UMNO antaranya yuran percuma kepada pelajar universiti awam dan bayaran khas sekurang-kurangnya RM500 kepada ibu bapa bagi meringankan perbelanjaan sesi persekolahan tahun 2021.

Katanya turut dicadangkan ialah melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hingga Disember 2021 dan melonggarkan syarat dan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp atau mana-mana agensi berkaitan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selain pertemuan dengan wakil UMNO, Tengku Zafrul juga dijadualkan akan bertemu dengan pemimpin parti Pakatan Harapan (PH), PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3077