Tragedi Jatuh Laut: Mayat Adik Ditemui, Kakak Masih Hilang

Mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan lemas ditemui di perairan Indonesia.

TAWAU: Salah seorang daripada dua beradik yang terjatuh ketika mandi di jeti Kampung Bergosong, Pulau Sebatik Jumaat lalu, ditemui lemas hari ini (Ahad).

Mayat mangsa, Madsum Telson, 5, ditemui terapung di perairan negara Indonesia pada jam 12.35 tengah hari oleh penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam ketika dihubungi berkata, sebaik menerima maklumat penemuan itu, anggota maritim mendapat keizinan daripada pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil mayat kanak-kanak itu.

“Keluarga mangsa mengesahkan mayat kanak-kanak yang ditemui itu adalah anak lelakinya Madsum dan jasadnya dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat kanak-kanak itu tiba di jeti Maritim pada jam 2 petang dan dibawa ke Hospital Besar Tawau menggunakan lori Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau,” katanya.

Terdahulu mangsa bersama kakaknya, 8, yang masih belum ditemui terjatuh ke dalam laut semasa mandi di jeti berkenaan pada petang Jumaat lalu.

Keluarga mangsa mendapat tahu selepas dua lagi rakannya yang mandi bersama mereka memberitahu bahawa kedua-dua adik beradik itu terjatuh ke dalam laut.

Penduduk kampung menggunakan lima bot bertindak awal mencari kanak-kanak terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Bergosong pada jam 6.30 petang hari kejadian.

Pihak Maritim Tawau menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.50 malam daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau.

Sejurus menerima maklumat tersebut aset bot maritim yang berada dalam sektor operasi telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut dan mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada hari yang sama. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *