Pusat Kuarantin Baru Mungkin Dibuka Di Pulau Omadal, Semporna

KUALA LUMPUR: Pusat kuarantin baru mungkin akan dibuka di Pulau Omadal, Semporna, Sabah bagi membendung penularan wabak Covid-19 di kawasan itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat khas esok untuk bincangkan sama ada perlu atau tidak wujudkan pusat kuarantin baru di pulau berkenaan.

“Mungkin MKN Sabah boleh nasihatkan mesyuarat esok sama ada kita mempunyai tempat yang sesuai atau tidak, selain aspek petugas kesihatan juga perlu diambil kira. Kita akan lihat perkara ini secara menyeluruh,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) tidak melayani warga asing yang memerlukan rawatan Covid-19 di pulau berkenaan, Ismail berkata, KKM pada dasarnya akan merawat semua pesakit, namun jika ia membabitkan warga asing, maka Jabatan Imigresen perlu dilibatkan sama.

“Ini babitkan individu tidak berdokumen, ia bukan semata-mata tanggungjawab KKM. Ya betul KKM akan ambil tindakan terhadap mereka yang positif seperti lakukan saringan lanjut, tetapi jika babitkan warga asing, Jabatan Imigresen perlu dilibatkan. Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenang,” katanya.

Berhubung rungutan ibu bapa terhadap keputusan kerajaan menutup operasi institusi pendikan, termasuk tadika dan taska di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Sabah, Labuan, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan kumpulan berisiko tinggi, iaitu kanak-kanak, terdedah kepada virus berkenaan.

“Kita faham masalah ibu bapa yang bekerja. Sebab itu kita laksanakan (inisiatif) bekerja dari rumah, paling kurang sebahagian masalah mereka dapat diselesaikan.

“Namun, bagi pekerja yang masih perlu ke tempat kerja, mungkin kita akan bincang perkara ini dengan lebih lanjut bersama KKM kerana akhirnya, KKM yang akan memutuskan sama ada ia wajar atau tidak,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1904