Pengusaha Bas Ekspres Sabah Mohon Bantuan Kerajaan Kekal Operasi

KOTA KINABALU : Pengusaha bas ekspres Sabah yang tidak dapat beroperasi sejak sebulan lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) merayu kepada kerajaan negeri untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu mereka yang terjejas.

Presiden Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bas Ekspres Sabah (SEBOC), Datuk Donald Hanapi berkata, pihaknya mengambil maklum PKPB dikuatkuasakan ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

“Namun begitu, hari demi hari kami semakin dihimpit dengan bebanan yang cukup merisaukan apabila kami tidak dibenarkan beroperasi hampir sebulan lebih.

“Kami dengan ini sebulat suara memohon agar pihak kerajaan Sabah dapat mengemukakan langkah drastik serta efektif dalam mengurangkan bebanan kami selaku pengusaha yang rata-rata terdiri daripada bumiputera ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu Donald memohon supaya kerajaan dapat memberi bantuan segera khusus kepada pengusaha bas ekspres yang terjejas dalam tempoh PKPB.

“Sebagai makluman rata-rata kami tidak diberikan sebarang kemudahan moratorium dari segi bayaran ansuran bulanan bas kami yang beroperasi.

“Bayaran ansuran bulanan bas dan juga kaunter tiket yang disediakan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu dibayar setiap bulan walaupun tidak dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini lagi. Bantuan dari kerajaan amat kami harapkan bak kata pepatah, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan,” katanya.

Terdahulu, beliau turut ingin mendapatkan pencerahan daripada kerajaan berhubung tarikh bas ekspres di negeri tersebut dapat kebenaran untuk beroperasi semula.

“Kami minta pihak kerajaan beri pencerahan mengenai kebenaran beroperasi kepada bas ekspres di Sabah dari segi tarikh dalam masa terdekat.

“Kami perlu membuat persiapan lebih rapi dari segi proses sanitasi dan penyediaan bahan keperluan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum memulakan operasi,” katanya.

Tambah Donald lagi, jika tiada bantuan daripada kerajaan dalam masa terdekat ini, pengusaha bas ekspres meminta supaya mereka dapat diberi ruang untuk beroperasi semula.

“Kami juga faham situasi terkini dialami pihak kerajaan. Sekiranya tiada bantuan atau penyelesaian yang efektif dalam masa yang terdekat ini, kami memohon agar diberi ruang untuk beroperasi dengan SOP ditetapkan atau lebih ketat bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibanteras.

“Kami perlu membanting tulang bagi memulihkan ekonomi yang terjejas akibat PKP sebelum ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1685