Najib Syor KWSP Benar Pencarum Keluar Akaun 1 Secara Bulanan

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disyorkan supaya membenarkan pengeluaran “one-off” dari Akaun 1 sehingga RM10,000 secara bulanan bagi tempoh 3 hingga 6 bulan, sekiranya dana itu bimbang akan tertekan dari segi aliran wang tunai jika kerajaan membenarkan pengeluaran sekali gus.

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, dalam zaman norma baru, kaedah baru diperlukan dalam pendekatan kerajaan untuk membantu rakyat merancakkan ekonomi domestik.

“Sukar untuk membenarkan tak bermaksud mustahil untuk dilakukan. Nak, seribu daya.

“Pada masa depan setelah ekonomi pulih daripada krisis Covid-19, barulah kerajaan dan pencarum cari jalan untuk pulihkan simpanan usia tua di KWSP,” katanya di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Najib yang juga bekas menteri kewangan berkata, jika KWSP atau kerajaan bimbang dengan tekanan terhadap pasaran bon tempatan akibat pencairan bon sehingga RM45.7 bilion dalam masa singkat untuk pembiayaan skim ini, Bank Negara (BNM) boleh datang membantu.

“Ini kerana, mereka (BNM) dibenarkan untuk membeli bon dari pasaran tempatan jika diperlukan,” katanya merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 7 Sept lalu.

Langkah BNM itu juga katanya, tidak berbahaya kerana Malaysia dan negara di seluruh dunia kini dalam persekitaran inflasi negatif akibat ekonomi yang tertekan.

Najib berkata, 4.57 juta pencarum lulus untuk pengeluaran skim i-Lestari KWSP dari Akaun 2.

Dalam tempoh 5 bulan dari April hingga Ogos, jumlah pengeluaran i-Lestari adalah sebanyak RM7.48 bilion.

“Saya jangka jumlah pencarum yang mahu pengeluaran ‘one-off’ Akaun 1 juga sama dengan jumlah skim i-Lestari, iaitu RM45.7 bilion jika semua layak mengeluarkan RM10,000,” katanya.

KWSP mengumumkan keuntungan sebanyak RM15.12 bilion bagi suku ke-2 2020. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *