Bekas Ketua Menteri Sabah Sedia Disiasat SPRM

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas keputusan Sabah Development Bank (SDB) memberikan pinjaman RM300 juta kepada AirAsia Berhad.

Mohd Shafie berkata, pinjaman terbabit dibuat berdasarkan undang-undang dan semakan menyeluruh terhadap permohonan pinjaman itu dilakukan oleh SDB.

“Sebagai bekas Ketua Menteri dan Menteri Kewangan, saya sedar tiada apa-apa yang tersembunyi atau disembunyikan di sebalik pinjaman itu kerana permohonan itu bukan dibuat dalam tempoh semalaman, Sebaliknya, SDB sudah melakukan siasatan dan pertimbangan terbaik serta menyeluruh, sebelum kelulusan diberikan.

“AirAsia Berhad syarikat yang berdaftar di Bursa Malaysia. Justeru, sebarang urusan transaksi bernilai RM300 juta sudah tentu kelulusan diberikan selepas semua syarat pinjaman dipatuhi oleh pemohon.

“Sebagai syarikat penerbangan yang menjadi pilihan rakyat Malaysia, AirAsia mempunyai pelan pembangunan yang memberi manfaat kepada Sabah dengan syarikat menyasarkan mencipta sebanyak 100,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

“Syarikat penerbangan itu merancang untuk beberapa projek pembangunan di Kota Kinabalu. Antaranya stor simpanan hasil pertanian dikenali sebagai OurFarm selaras dengan sasaran mereka menjadi pengedar utama hasil pertanian dan perikanan yang dijual melalui e-dagang,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Shafie berkata, perancangan kerajaan negeri sebelum ini bersama AirAsia banyak memberi manfaat kepada Sabah.

“AirAsia juga merancang membelanjakan sebanyak RM110 juta untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai hab antarabangsa mereka.

“Perancangan AirAsia itu sudah tentu memberi manfaat kepada Sabah sebagai negeri yang kaya dengan hasil pertanian dan perikanan.

“Semasa saya menjadi Ketua Menteri, Pelan Tindakan Pembangunan Pertanian 2021-2030 dilancarkan untuk menjadikan Sabah sebagai negeri pengeluar produk pertanian, selain memastikan jaminan makanan bagi negara.

“Dengan adanya bekalan produk pertanian, petani kita sudah tentu mampu menjana lebih banyak pendapatan dengan pasaran yang lebih luas, sehingga ke peringkat antarabangsa dengan menjadikan AirAsia sebagai perantara.

“Untuk memasarkan produk pertanian, sistem pengangkutan amat penting. AirAsia bersedia menyediakan penerbangan agar setiap produk itu dapat sampai ke destinasi dengan cepat, sebelum rosak,” katanya.

Shafie berkata, perancangan bersama AirAsia juga tidak hanya memberi manfaat kepada sektor pertanian, malah juga sektor pelancongan.

“Dalam sektor pelancongan pula, sudah tentu kegemilangan Sabah sebagai pusat tumpuan pelancong akan kembali, sekiranya sasaran AirAsia menjadikan negeri ini sebagai hab antarabangsa menjadi realiti.

“Kita sedar sebelum COVID-19 melanda, ekonomi Sabah meningkat dengan pesat dalam sektor pelancongan dan rakyat menerima limpahan ekonomi yang tidak terbatas di semua peringkat, bukan sahaja di Kota Kinabalu tetapi melimpah sehingga ke Pantai Timur Sabah.

“Sebagai pentadbir negeri ketika itu, kita tidak boleh bergantung kepada satu syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines semata-mata. Sebaliknya peranan syarikat lain, terutama AirAsia juga tidak boleh diperkecil.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab memajukan ekonomi, kerjasama erat perlu dilakukan dengan AirAsia kerana jika perancangan mereka berjaya, rakyat Sabah sendiri akan menerima manfaat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan AirAsia Group Bhd mengesahkan ia memperoleh pinjaman RM300 juta daripada SDB dan bukan daripada mana-mana pembiayaan atau jaminan kerajaan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *