Jumlah Kes Covid-19 Terburuk Di Sabah Tak Lama Lagi, Kata Masidi

Masidi Manjun berkata, munasabah untuk menganggap lebih banyak kes akan dikesan dari Penjara Kepayan.

KOTA KINABALU: Jumlah kes Covid-19 di Sabah akan bertambah buruk dalam beberapa hari lagi, kata seorang menteri di negeri itu susulan rekod tertinggi 889 kes yang direkodkan di Sabah pada Sabtu.

Masidi Manjun, jurucakap kerajaan negeri berhubung Covid-19, berkata kluster Penjara Kepayan dijangka menyumbang kepada peningkatan kes itu.

Katanya, 434 daripada 557 kes yang dicatatkan di Kota Kinabalu hari ini, datangnya dari Kepayan.

“Itu ialah 79% kes di KK saja. Saya menjangkakan dan lebih baik saya katakan lebih awal, keputusan ujian saringan tahanan lain belum diperolehi semuanya.

“Munasabah untuk menganggap lebih banyak kes positif dari kluster ini, yang akan menyumbang kepada kes di KK dan Sabah secara keseluruhan,” katanya pada sidang media pada Sabtu.

Sebelum ini, Masidi dilaporkan berkata, terdapat 2,700 tahanan di penjara itu dan semuanya sudah menjalani ujian saringan.

Katanya, semua banduan disaring sebelum dihantar ke penjara di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

Beliau berkata, individu yang ditahan juga akan disaring sebelum dihantar ke lokap.

Masidi berkata, Tawau turut mencatatkan 80 kes baru akibat sampel ujian yang dihantar sebelum ini, manakala Kudat merekodkan jumlah kes ke-3 tertinggi di Sabah dengan 40 kes baru dilaporkan.

“Sebanyak 33 daripadanya dari kluster Inai. Jabatan Kesihatan berjaya mengesan semua individu yang menghadiri majlis berinai itu.”

Masidi berkata, 104 guru dan 242 pelajar dijangkiti virus itu sejak Mac lalu, “bagaimanapun mereka dijangkiti di luar sekolah”.

Katanya, 5 pegawai yang bertugas di pusat tahanan sementara (PTS) untuk pendatang asing tanpa izin di Papar disahkan positif Covid-19 pada Sabtu, manakala 33 tahanan di PTS itu masih menunggu keputusan saringan.

Beliau berkata, pihak berkuasa kesihatan turut mengesan 1,352 kes Covid-19 di kawasan setinggan di sini dan Semporna.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

8176