Helikopter Milik Siapa?

Kehadiran sebuah helikopter ke Istana Negara timbul tanda tanya.

KUALA LUMPUR: Kehadiran sebuah helikopter yang mendarat di perkarangan Istana Negara, di sini, menimbulkan tanda tanya kepada pihak media.

Helikopter berkenaan dilaporkan mendarat kira-kira jam 12 tengah hari tadi sebelum terbang semula beberapa minit kemudian.

Namun helikopter yang sama kemudian mendarat semula kira-kira jam 3.10 petang tadi.

Setakat ini, pihak media tidak dapat memastikan kemungkinan adanya kehadiran Raja-Raja Melayu yang tidak memasuki Istana Negara menaiki kenderaan rasmi.

Sehingga jam 3 petang tadi, hanya kelibat masuk Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang tidak dilihat masuk ke Istana Negara melalui pintu utama.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi membincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan kepada baginda hasil Mesyuarat Khas Kabinet pada Jumaat lalu.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran cadangan dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada Seri Paduka.

Namun, spekulasi yang tercetus mengandaikan ia antara lain adalah syor kerajaan untuk melaksanakan darurat atau prorog Parlimen, mengambil kira keadaan semasa penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.

Prorog adalah pemberhentian atau penggantungan sidang Dewan Rakyat dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir persidangan terdahulu.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *