2 Lagi Guru Dan 28 Murid Dijangkiti Covid-19 Di Sabah

KOTA KINABALU: Selama dua hari berturut-turut Sabah melaporkan jangkitan dalam kalangan guru, pelajar sekolah dan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Hari ini, lagi 28 orang pelajar, dua guru serta seorang kakitangan JPN dilaporkan positif Covid-19 di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pihaknya belum menerima maklumat terperinci mengenai jangkitan dalam kalangan warga pendidikan ini kerana ketika ini sekolah masih ditutup.

Berkemungkinan, mereka ini dijangkiti di tempat lain namun, maklumat terperinci akan dimaklumkan setelah penilaian telah dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Katanya, 31 kes melibatkan warga pendidikan dan pelajar itu antara 528 kes positif baharu yang dilaporkan di 19 daerah di Sabah pada hari ini.

Untuk hari ini, Kota Kinabalu kekal melaporkan kes tertinggi dengan 228 kes positif baharu dan 140 kes adalah daripada kluster Penjara Kepayan.

Selain itu, daerah yang mencatatkan kes yang tinggi adalah Tawau dengan 61 kes baharu, Semporna (50), Sandakan (31), Lahad Datu (28), Tuaran (27), Kunak (19) dan Kota Belud (15).

Derah lain yang turut mencatatkan kes baharu adalah Papar (14), Kudat (14), Penampang (13), Putatan (9), Keningau (7), Beaufort (4) dan dua kes masing-masing di Kota Marudu, Ranau dan Pitas. Manakala, satu kes dilaporkan di Kinabatangan dan Nabawan.

Sebanyak satu kluster baharu, iaitu kluster Samudera di Taman Perumahan Samudera Sandakan, yang mencatatkan lapan kes.

Hari ini, lapan kematian dilaporkan di Sabah, dengan lima kematian di Sandakan, satu kematian di Kota Kinabalu, Putatan dan Tuaran. Bilangan kumulatif kes kematian di Sabah meningkat kepada 84 kes.

Sehingga kini, sebanyak 10,396 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 5,830 kes aktif yang sedang menerima rawatan. Manakala, bilangan keseluruhan kes yang telah pulih adalah sebanyak 4,482 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *