COVID-19: Sabah Terus Diamuk Badai COVID-19, Kes Aktif Lepasi Lapan Ribu

KUALA LUMPUR: Sabah terus menjadi mangsa amukan badai COVID-19 dengan 578 kes atau 68.2 peratus daripada keseluruhan 847 kes baharu positif yang dilaporkan, sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 22 Okt.

Daripada 578 kes itu, 155 kes adalah dari Kluster Penjara Kepayan yang pertama kali diumumkan pada 18 Okt dengan 49 kes awal. Setakat semalam, jumlah kes positif COVID-19 Kluster Penjara Kepayan adalah 582.

Kluster ini dikhuatiri akan terus melonjakkan jumlah kes harian di negeri di bawah bayu itu dan kebimbangan ini disuarakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun semalam.

Jumlah kes positif di Sabah dijangka meningkat mendadak susulan saringan daripada Kluster Penjara Kepayan yang giat dijalankan. Jumlah banduan di penjara tersebut sekitar 2,700 orang. 

Selepas Sabah, negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan pertambahan sebanyak 164 kes (19.4 peratus dari jumlah keseluruhan kes) semalam.

Mengumumkan perkembangan terkini COVID-19 di Malaysia semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan 847 kes baharu itu (lima daripadanya kes import), jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini menjangkau 23,804 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 juga meningkat melepasi angka lapan (8) ribu kepada 8,183 kes. 

Di sebalik peningkatan kes baharu, sesuatu yang membanggakan adalah jumlah pesakit yang pulih terus menunjukkan prestasi tinggi. Semalam,  22 Okt, seramai 486 orang lagi pesakit COVID-19 pulih. Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 15, 417  iaitu 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada 18 Okt, negara mencatat 701 kes pulih, yang tertinggi sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia.

Pecahan kes yang pulih semalam, mengikut negeri adalah, Sabah (250 kes), Selangor (109 kes), Kedah (67 kes), Pulau Pinang (30 kes), Perak (13 kes), Johor (9 kes), Sarawak (6 kes) dan Terengganu (2 kes).

KES KEMATIAN DAN KES-KES LAIN

Para petugas serta penyumbang bantuan kit makanan asas sibuk mengumpul barangan makanan di pusat pengumpulan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan sebelum diagihkan. Orang ramai yang layak memohon adalah mereka yang dikuarantin dan dikalangan golongan B40, boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Labuan di talian hotline 087-425 600 atau 087-408 603 beroperasi setiap hari pada jam 9 pagi hingga jam 5 petang. Foto BERNAMA

Sebanyak lima lagi kes kematian dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 22 Okt. Kelima-lima kes iaitu tiga perempuan dan dua lelaki berlaku di Sabah. Ini menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia sebanyak 204 iaitu 0.86 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang rangkuman mingguan adalah 5 kes (22 Okt), 6 kes (21 Okt), 3 kes (20 Okt), 3 kes (19  Okt), 7 kes (18 Okt) dan 4 kes (17 Okt).  Daripada 28 kes kematian dari 17 Okt hingga 22 Okt, sebanyak 27 dilaporkan di Sabah dan satu (1) di Selangor. 

Sementara itu, 90 orang pesakit COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, kes baharu COVID-19 sepanjang rangkuman ini adalah 847 kes (22 Okt),  732 kes ( 21 Okt), 862 kes (20 Okt), 865 kes (19 Okt), 871 kes (18 Okt) dan 869 kes (17 Okt) .  

Untuk kes pulih pula yang dilapor, iaitu 486 kes ( 22 Okt), 580 kes (21 Okt), 634 kes (20 Ok), 485 kes (19 Okt), 701 (18 Okt) dan 302 (17 Okt).

Sementara itu, jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept adalah sebanyak 465 kes termasuk 11 kes yang diumumkan semalam.

LANDAIKAN R-NAUGHT

“Usaha landaikan nilai R-Naught perlu kerjasama semua pihak”. Demikian kata Dr Noor Hisham Abdullah sewaktu mengadakan sidang media khas pada 18 Okt lepas untuk menjelaskan nilai R atau R-Naught (Ro).

Ini bukan kali pertama beliau menyatakan betapa pentingnya mengawal nilai Ro. Pada 30 Sept, beliau membangkitkan kebimbangan yang sama.

Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Pada sidang media 18 Okt itu, Dr Noor Hisham memberitahu wakil media gelombang ketiga wabak COVID-19 yang sedang melanda Malaysia sekarang adalah lebih mencabar.

Menurut beliau, nilai Ro pada permulaan gelombang ketiga pada 20 Sept adalah 2.2, tetapi dalam tempoh empat minggu ianya berjaya diturunkan kepada 1.5.

Tegas beliau, usaha untuk melandaikan nilai Ro ini kepada kurang daripada 1.0, memerlukan kerjasama semua pihak.

KLUSTER DAN STATUS TERKINI KES COVID-19

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) semasa sidang media harian untuk mengumum situasi terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan. – FOTO BERNAMA

Sehingga Khamis 22 Okt , Dr Noor Hisham mengumumkan keseluruhannya terdapat 207 kluster yang direkod sepanjang berlakunya wabak COVID-19 di negara ini dan 108 sudah ditamatkan.

Setakat 22 Okt 2020, masih terdapat 99 kluster termasuk enam (6) kluster baharu yang diumumkan semalam. 

Perincian kes baharu yang dilaporkan KKM setakat pukul 12 tengah hari 22 Okt, iaitu Sabah: 578 kes. Daripada jumlah itu, 223 kes daripada kluster sedia ada, termasuk enam (6) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Tinusa dan Kluster Sauh.

Di Selangor, daripada 132 kes, sebanyak 59 kes daripada kluster sedia ada, termasuk enam (6) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jambu dan lapan (8) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Negeri Sembilan mencatat 38 kes dan 33 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Sofi. Di Wilayah Persekutuan Labuan, sebanyaj 29 kes dilaporkan. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat 23 kes termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Mutiara.

Di Perak, dilaporkan 14 kes; Pulau Pinang, 10 kes; Wilayah Persekutuan Putrajaya terdapat empat (4) kes; Kedah, tiga (3); Melaka, tiga (3) kes termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Umboo; Kelantan melaporkan tiga (3) kes; Pahang, dua.

Sementara itu, Terengganu, Johor dan Sarawak, masing-masing melaporkan satu (1) kes.

PELBAGAI LANGKAH KEKANG COVID-19

Peningkatan kes baharu positif COVID-19 membuatkan kerajaan melaksanakan pelbagai langkah untuk mengekang penularan ganas koronavirus ini.

Sabah yang kini pusat penularan COVID-19 dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu berkuatkuasa 13 Okt hingga 26 Okt . 

PKPB kemudiannya diisytiharkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa 14 Okt sehingga 27 Okt untuk memutuskan penularan COVID-19.

PKPB dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa 17 Okt sehingga 30 Okt.

Trend peningkatan kes positif COVID-19 di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sabah, membuatkan kerajaan memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan berkenaan.

Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan mengarahkan pekerja bagi sektor awam dan pekerja swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu untuk hadir ke pejabat dan hanya bekerja dari rumah (Work From Home).

Maksimum 30 peratus pekerja sektor awam dibenar berada di pejabat, mulau 22 Okt sehingga tamat tempoh PKPB.

Arahan ini melibatkan hampir 800,000 pekerja sektor industri dan hampir 200,000 ribu penjawat awam dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah. 

Pengecualian diberikan bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

Pekerja yang tinggal di kawasan zon merah amat disaran melakukan ujian saringan COVID-19, jika perlu bekerja di pejabat. Ini untuk memastikan pengesanan awal jangkitan COVID-19 bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu di tempat bekerja.

SARINGAN COVID-19 UNTUK PEKERJA ASING

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF). – FOTO BERNAMA

Sementara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kerajaan juga memutuskan pekerja asing membabitkan pengawal keselamatan dan pekerja binaan di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu menjalani semula saringan COVID-19.

Ini berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan warga asing khususnya kes membabitkan pengawal keselamatan di pusat beli-belah One Utama baru-baru ini.

Turut diwajibkan untuk menjalani ujian saringan itu adalah bagi mereka yang bergejala. Bagi pekerja dari zon merah yang perlu bekerja di pejabat, mereka juga amat disarankan untuk menjalani swab test.

Memandangkan kes baharu COVID-19 yang melibatkan pesakit yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah semakin meningkat dengan kemunculan juga kluster baharu, semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan kesihatan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa dan Domestik, diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh ketibaan, dipakaikan gelang (wristband).

MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaann Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Mereka juga perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. Langkah ini bermula 11 Okt  sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

STATISTIK GLOBAL COVID-19

Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. www.coronatracker.com

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini menghampiri 42 juta. 

Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 41,992,013 (rangkuman minggu lalu 39,230,164 ) dengan 1,141,731 kematian (minggu lalu 1,103,724 kematian ). Jumlah pesakit sembuh ialah 31,184,436 (minggu lalu 29,410,149).  

Amerika Syarikat masih di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 8,661,651 kes (minggu lalu 8,219,088 kes).  Angka kematian 228,381 (minggu lalu 222,754). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

India, di tempat kedua dengan 7,759,640 kes (minggu lalu 7,372,394 kes) dengan 117,336 kematian (minggu lalu 112,214 kes kematian).      

Ini diikuti Brazil, dengan 5,332,634 kes (minggu lalu 5,170,996 kes) dan 155,962 kematian ( minggu lalu 152,513 kematian).  

Rusia merekod 1,463,306 kes (minggu lalu 1,369,313 kes) dan 25,242 kematian (minggu lalu 23,723 kematian).      

Di samping empat negara di atas, terdapat 43 (minggu lalu 40) lagi negara mencatat lebih 100,000 kes COVID-19.

Negara-negara dalam senarai tersebut adalah seperti berikut:-

Sepanyol 1,090,521 kes (34,521 kematian), Argentina 1,053,650 kes (27,957 kematian), Perancis 999,043 kes (34,210 kematian), Colombia 990,270 kes (29,636 kematian),  Peru 879,876 kes (33,984 kematian), Mexico 874,171 kes (87,894 kematian), United Kingdom 810,467 kes (44,347 kematian), Afrika Selatan 710,515 kes (18,843 kematian), Iran 550,757 kes (31,650 kematian), Chile 497,131 kes (13,792 kematian), Itali 465,726 kes (36,968 kematian), Iraq 442,164 kes (10,465 kematian), Jerman 403,874 kes (10,044 kematian), Bangladesh 394,827 kes (5,747 kematian), Indonesia 377,541 kes (12,959 kematian), Filipina 363,888 kes (6,783 kematian), Turki 355,528 kes (9,584 kematian), Arab Saudi 343,774 kes (5,250 kematian), Pakistan 325,480 kes (6,702 kematian), Ukraine 322,879 kes (6,043 kematian), Israel 308,247 kes (2,319 kematian), Belgium 270,132  kes (10,588 kematian), Belanda 262,405 kes (6,919 kematian), Czechia 223,065 kes (1,845 kematian), Poland 214,686 kes (4,019 kematian) dan Kanada 209,148 kes (9,862 kematian)., 

Negara lain adalah Romania 196,004 kes (6,163 kematian), Maghribi 186,731 kes (3,132 kematian), Ecuador 156,451 kes (12,500 kematian), Nepal 148,509 kes (812 kematian), Bolivia 140,445 kes (8,584 kematian), Qatar 130,462 kes (228 kematian), Panama 127,227 kes (2,612 kematian) Republik Dominica 122,873 kes (2,212 kematian), Emiriah Arab Bersatu 120,710 kes (474 kematian), Kuwait 119,420 kes (730 kematian), Oman 111,837 kes (1,147 kematian), Kazakhstan 110,086 kes (1,796 kematian), Portugal 109,541 kes (2,245 kematian), Sweden 108,969 kes (5,930 kematian), Mesir 106,060 kes (6,166 kematian) dan Guatemala 103,172 kes (3,580 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-56 dengan 85,747 kes (minggu lalu 85,646 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 46 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Minggu ini Indonesia mencatat 377,541 kes (minggu lalu 353,461 kes) dan 12,959 kematian (minggu lalu 12,347 kematian). Filipina merekod 363,888 kes (minggu lalu 351,750 kes) dan 6,783 kematian (minggu lalu 6,531 kematian). 

Singapura pula merekodkan 57,941 kes (minggu lalu 57,901 kes) dengan angka kematian kekal  28.Myanmar melaporkan 41,008 kes (minggu lalu 32,351 kes) dan 1,005 kematian (minggu lalu 765 kematian).  

Jumlah kes positif COVID-19 di Thailand pula sebanyak 3,719 kes (minggu lalu 3,669 kes) dan angka kematian kekal 59. 

Vietnam mencatat 1,148 kes (minggu lalu 1,124 kes) dan angka kematian kekal 35. Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 286 kes (minggu lalu 283 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos, 24 kes dan sifar kematian.

———————————————————————————————

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

— Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

— Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

— Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

— WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

— Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

— Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

— Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

— WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

— Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

— Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

— Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

— Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

— Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2291