Bertenang! Rakyat Jangan Bimbang Jika Darurat Diisytihar – Prof Dr Nik Ahmad Kamal

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin tiba di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Kuantan bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat. – Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Rakyat tidak perlu rasa bimbang sekiranya pengisytiharan perintah darurat benar-benar dilakukan oleh kerajaan.

Pengamal Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, langkah tersebut tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat, sebaliknya, tindakan itu sebagai langkah menyelesaikan kemelut yang sedang melanda negara.

“Saya rasa rakyat tidak perlu bimbang, kalau kita belajar dari sejarah dua pengisytiharan darurat di Sarawak pada 1996 dan Kelantan pada 1977, ialah untuk menyelesaikan isu kemelut kerajaan.

“Ia (darurat itu) tidak memberi kesan kepada rakyat ketika itu. Proses itu hanya berlaku dalam kerajaan dan dapat diselesaikan dengan peruntukan ordinan-ordinan yang tertentu ataupun arahan-arahan tertentu,” katanya kepada Astro AWANI dalam temu bual menerusi Skype, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, situasi yang berlaku dalam negara ketika ini tidak sama dengan perintah darurat yang dilakukan oleh kerajaan pada 1969.

“Jadi, di situ memang berlaku sesuatu yang kita takut. Tetapi untuk kali ini ia tidak akan berlaku seperti 1969.

Apa yang berlaku ialah pihak eksekutif akan cuba menangani isu kemelut politik dengan cara yang terbaik untuk memastikan ia dapat diselesaikan dan juga isu pandemik dapat ditangani dengan baik.

“Jadi, saya rasa tidak timbul rasa gentar atau rasa takut dengan apa yang berlaku nanti,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Nik Ahmad Kamal menambah, tempoh darurat tidak dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada sejauh mana kemelut itu dapat diselesaikan.

“Apa yang saya faham ia tidak ditetapkan. Ia bertujuan untuk menyelesaikan satu-satu masalah dan apabila kemelut itu selesai, ia akan ditamatkan.

“Tetapi apabila kita lihat darurat 1969, ia hanya selesai atau ditamatkan pada 2011 dan undang-undang darurat itu tamat pada 2012,” katanya.

Ketika ini, timbul desas-desus bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mencadangkan pengisytiharan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengatasi ketidakstabilan politik dan mengelak lebih banyak konflik dalam sidang Parlimen akan datang.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, darurat hanya boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, seperti peruntukan dalam Perkara 150.

Sebelum ini, pengisytiharaan darurat dilaksanakan di Sarawak pada 1966 berikutan pergelutan kuasa kerajaan negeri dengan Persekutuan, manakala Darurat Kelantan 1977 kerana pergelutan kuasa pentadbir negeri dengan Persekutuan. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4035