COVID-19: Kes Positif Di Sabah Dijangka Turun Beberapa Hari Lagi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun (kanan) ketika sidang media mengenai perkembangan harian COVID-19Sabah di Wisma Innoprise, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Statistik kes positif COVID-19 di Sabah dijangka menunjukkan penurunan dalam tempoh beberapa hari lagi selepas semua sampel untuk saringan terkumpul sebelum ini selesai diuji.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ketika ini sebanyak 10,400 sampel yang dikumpul di seluruh negeri sebelum ini belum selesai diproses.

Beliau berkata, semua sampel berkenaan dijangka selesai diuji dalam tempoh tiga atau empat hari lagi sejajar langkah Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan keupayaan melakukan ujian termasuk dengan kerjasama sektor swasta.

“Setakat hari ini masih ada 10,400 sampel lama lagi yang belum diproses tetapi kita berharap ia dapat diselesaikan dalam tiga empat hari ini.

“Selepas itu kita berharap statistik kes positif COVID-19 di Sabah akan menunjukkan penurunan jika tiada kes penularan baharu,” katanya pada sidang media perkembangan harian COVID-19 Negeri Sabah, di sini, malam ini.

Masidi sebelum ini menjelaskan, jumlah sampel untuk ujian pengesanan COVID-19 yang banyak dan belum dapat diuji dikenal pasti antara punca statistik jumlah pesakit positif di negeri ini yang tinggi berbanding negeri lain.

Katanya, sampel untuk ujian pengesanan COVID-19 itu dikumpul dari kawasan zon merah dan kluster yang dikenal pasti oleh KKM.

Sementara itu, katanya kawasan ibu negeri mencatat kes positif COVID-19 tertinggi hari ini dengan 289 kes, diikuti Tawau (130 kes), Semporna (63 kes), Sandakan (52 kes), Lahad Datu (28 kes), Kunak (24 kes), Kudat (15 kes) dan Kota Belud (10 kes).

Jumlah yang tinggi di ibu negeri itu katanya disumbangkan kes positif yang dikesan di Kluster Penjara Kepayan dengan sebanyak 231 kes dilaporkan pada hari ini.

“Secara keseluruhannya Sabah mencatat 673 kes hari ini dengan tiga kematian menjadikan kumulatif kes positif setakat hari ini sebanyak 8,755 kes dengan 5,466 pesakit masih menerima rawatan di wad seluruh negeri.

“Namun, berita baik pada hari ini ialah tiada zon merah baharu dilaporkan KKM di Sabah,” katanya.

Ini bermakna zon merah COVID-19 di Sabah kekal 16 daerah sehingga hari ini iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Semporna, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Kota Belud, Putatan, Papar, Ranau, Beaufort, Tuaran, Penampang, Tambunan, Keningau dan Kudat.

Dalam hal berkaitan, Masidi yang juga Menteri Kewangan II negeri, berkata kerja disinfeksi atau nyah kuman turut digiatkan dengan sebanyak 88 kawasan selesai menjalani proses itu hari ini.

“Tumpuan kita ialah tempat awam seperti pasar, bangunan kerajaan, premis perniagaan, taman awam dan permainan, tamu, tempat letak kereta, surau, tandas awam, dewan masyarakat, terminal, jeti, gerai makan dan kawasan berisiko yang menjadi tumpuan awam.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melaksanakan disinfeksi hari ini ialah Majlis Perbandaran Sandakan, Majlis Daerah Pitas, Tuaran, Penampang, Putatan, Tenom, Keningau, Tambunan, Sipitang, Beaufort, Papar, Beluran, Kinabatangan, Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Lembaga Bandaran Kudat,” katanya.

Masidi turut menggesa sektor swasta di negeri ini membenarkan pekerja dalam bahagian pengurusan untuk bekerja dari rumah sama seperti yang diarahkan kepada pekerja sektor awam berikutan penguatkuasaan arahan itu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *