Penduduk Setinggan Atas Air Diarah Pakai Gelang Tangan Kuarantin

LABUAN: Penduduk kampung dalam kluster baharu Covid-19 Saguking, Sebor, di sini, diarah memakai gelang tangan kuarantin di rumah hari ini berikutan peningkatan kes positif di kampung yang sebahagian kecilnya dihuni pendatang tanpa izin (Pati).

Sekurang-kurangnya 30 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam di kampung itu dan 18 daripada mereka adalah Pati.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, saringan bersasar ke atas penduduk kampung di Saguking, Sebor diteruskan hari ini dan tindakan itu sebahagian daripada perintah duduk di rumah untuk memastikan mereka berada dalam jejari lingkungan yang dibenarkan.

“Kami sedang melakukan yang terbaik bagi mendapatkan semua penduduk kampung di Saguking, Sebor untuk memakai gelang tangan itu supaya mereka duduk di rumah serta tidak merayau di bandar dan menjadi risiko kepada masyarakat tempatan,” katanya kepada Bernama.

Saringan yang bermula 10 pagi tadi dilaksanakan di atas balai raya terapung dalam perkampungan atas air itu dengan beberapa kakitangan merinyu (menyelia) kesihatan dan pegawai perubatan ditempatkan di situ.

Saguking, yang terletak kira-kira 400 meter dari pusat bandar Labuan ialah kampung Melayu Brunei-Kedayan tetapi kini beransur-ansur terbahagi kepada dua bahagian dengan kawasan di sebelah lembah bertukar kepada perkampungan setinggan diatas air dikenali sebagai Saguking, Sebor.

Dr Ismuni berkata, satu lagi penempatan di atas air Kampung Patau-Patau 1 dan 2 juga menyaksikan ratusan penduduk kampung termasuk kanak-kanak terbabit dalam saringan bersasar itu beratur untuk ujian calitan dan polymerase chain reaction (PCR) di balai raya.

Labuan merekodkan peningkatan kes setiap hari sejak seminggu lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 154 kes setakat semalam dan kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 17 hingga 30 Oktober.

Pulau bebas cukai itu merekodkan empat kluster aktif, iaitu Saguking (39 kes), Bah Bangat (11 kes), Bah Bundle (22 kes termasuk yang merebak di Johor) dan Bah Layangan yang menular ke Rembau, Negeri Sembilan dengan 13 kes (hanya satu kes di Labuan). – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3533