Kes Covid-19 Sabah Dijangka Terus Meningkat – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menjangka bilangan kes di Sabah akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari ini susulan masih terdapat 11,000 sampel ujian Covid-19 belum memperoleh keputusan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Sabah masih berdepan sampel ujian Covid-19 yang tertangguh dan keputusan ujiannya belum diketahui.

Beliau berkata, jumlah sampel ujian yang belum diperoleh itu berjumlah 18,000 namun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berjaya mengurangkan jumlah itu kepada 11,000 sampel.

“Ini bermakna, 7,000 sampel ujian telah diperoleh dan ini sebabnya bilangan kes tinggi kerana kes baharu bercampur dengan sampel tertangguh sedia ada.

“Dengan sampel yang tertangguh masih ada 11,000 sampel ujian, kita mengandaikan jumlah kes akan terus tinggi dalam beberapa hari,” katanya semasa sidang media mengenai perkembangan Covid-19 Sabah, di Wisma Innoprise, hari ini.

Masidi berkata, sampel ujian tertangguh itu bermula sejak awal Oktober.

Katanya, memandangkan sebelum ini menggunakan ujian PCR, ia mengambil masa yang lama untuk memperoleh keputusan. Namun, sekarang dengan penggunaan ujian RTK (Rapid Test Kit), keputusan boleh diperoleh dengan lebih pantas.

Tambahnya, kes Sabah akan terus meningkat sehingga keputusan sampel ujian tertangguh itu diperoleh. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *