Rakyat Tidak Perlu Panik Walaupun Kes COVID-19 Tinggi Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Rakyat dinasihatkan sentiasa bertenang serta tidak panik walaupun laporan harian menunjukkan kes COVID-19 yang tinggi di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peningkatan kes hanya disebabkan hasil saringan lapangan yang diperluaskan serta bersasar di kawasan jangkitan di 11 daerah zon merah seperti  Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tuaran, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Sandakan, Papar dan Kota Belud.

“Oleh itu, kerajaan merayu kerjasama masyarakat di negeri ini yang bergejala dan mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 untuk segera membuat saringan di hospital-hospital atau klinik-klinik berhampiran di kawasan masing-masing.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di Negeri Sabah pada Sabtu adalah sebanyak 451 kes dengan empat kematian,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 6,737. Sehingga Sabtu, seramai 2,596 pesakit dilaporkan telah sembuh dan pada hari ini, seramai 4,086 pesakit sedang menerima rawatan di dalam wad.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan pengagihan bantuan bakul makanan kepada golongan sasar sedang berjalan lancar. Sehingga Sabtu, sebanyak 42,580 bakul makanan telah diagihkan.

Dalam pada itu, Masidi juga akan mengadakan sidang media pada setiap hari bermula 18 Oktober untuk memberikan status terkini penularan COVID-19 di Sabah.

Bagi membendung penularan COVID-19 di negeri ini, semua masyarakat digesa untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sedang dilaksanakan di seluruh Sabah termasuklah memastikan jarak fizikal dipatuhi setiap masa, pemakaian pelitup muka dan kerap membasuh tangan. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

24453