11 Ahli Parlimen Amanah Juga Usul Undi Tidak Percaya Muhyiddin

Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus, berkata tindakan beramai-ramai ini memberi isyarat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

PETALING JAYA: 11 Ahli Parlimen Amanah hari ini memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menyusuli tindakan sama oleh ahli-ahli Parlimen yang menyokong bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Naib Presiden Hasanuddin Mohd Yunus memaklumkan usul ini dibuat atas kerelaan wakil-wakil rakyat terbabit dan bukan atas arahan pucuk pimpinan parti.

“10 ahli Parlimen Amanah sudah mengutuskan usul berkenaan secara bersama. Manakala Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, menyerahkan sendiri kepada pegawai di Dewan Rakyat,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Mahathir bersama 4 ahli Parlimen yang menyokongnya memfailkan usul tidak percaya Muhyiddin, mendakwa perdana menteri gagal mentadbir sewaktu negara dilanda Covid-19 dan keraguan terhadap bilangan majoriti yang diperolehinya.

Hasanuddin beritahu FMT, walaupun memadai seorang sahaja wakil rakyat membawa usul berkenaan, tindakan beramai-ramai ini memberi isyarat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan masyarakat bahawa Amanah serius menukar semula pentadbiran.

“Kita hendak zahirkan kepada masyarakat bahawa kita prihatin untuk menukar perdana menteri dan kerajaan ini. Amanah pernah menegaskan kita akan jadi pembangkang yang baik dan pada masa sama terlibat dalam usaha mengambil semula mandat rakyat,” katanya.

Jelas Hasanuddin, selain isu kredibiliti Muhyiddin, Amanah turut prihatin dengan sikap parti dalam blok kerajaan yang menurutnya saling bertelagah serta lemah mengurus.

Sementara itu, beliau juga menegaskan pilihan pertama partinya untuk jawatan perdana menteri.

“Untuk itu kita kena lakukan usaha termasuk membawa usul ini dan mendesak ia diangkat di Dewan Rakyat.

“Untuk mengangkat Anwar Ibrahim, kita mesti memastikan perdana menteri dan kerajaan ini turun dahulu di Parlimen. Memang kami bercita-cita, hasrat dan rancangan angkat Anwar tetapi jika ada pemboleh ubah yang berlaku, kami akan buat keputusan yang akhirnya akan menguntungkan ummah,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *