Seorang Kakitangan TH Kota Kinabalu Positif COVID-19

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 14 Okt: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) di sini positif COVID-19 dan kini sedang menjalani rawatan di hospital.

TH menerusi kenyataan hari ini memberitahu kakitangan tersebut telah menjalani saringan COVID-19 pada 8 Okt dan didapati positif hari ini.

“TH juga telah menutup semua cawangannya di Sabah bermula 7 Okt sebaik sahaja menerima arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari Kerajaan Negeri Sabah.

“Berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, anggota yang dikenal pasti kontak rapat dengan pegawai yang dijangkiti COVID-19 telah diarahkan untuk menjalani ujian saringan serta menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari,” katanya.

TH juga memaklumkan pihaknya akan melaksanakan sanitasi kawasan kerja Ibu Pejabat TH Kota Kinabalu dan bekerjasama rapat dengan KKM dengan mengambil langkah pencegahan bagi meminimumkan potensi jangkitan kepada warga kerja lain juga para pendeposit yang berurusan di kaunter TH.

Menurut kenyataan itu TH sentiasa mengutamakan keselamatan warga kerja dan para pendepositnya dan menasihati orang awam khususnya pendeposit berurusan di Bangunan Pejabat TH untuk sentiasa mematuhi semua garis panduan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan di semua pintu masuk dan kaunter TH.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *