Pemilik Akaun ‘Bintang Ku’, Polis Lahad-Datu Cari Kau

Pemilik akaun FB ‘Bintang Ku’ dicari polis. Foto Ihsan Polis

LAHAD DATU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu meminta pemilik akaun Facebook (FB) ‘Bintang Ku’ supaya tampil membantu siasatan yang dibuka terhadapnya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, satu laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun berkenaan selepas kenyataan dibuat di FB.

Katanya, pemilik akaun berkenaan dipercayai mengeluarkan kenyataan tidak benar selain mencalar kredibiliti pasukan polis.

“Kenyataan yang ditulis di FB itu mendakwa, pasukan polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) dengan sengaja mengeluarkan saman terhadap Hamri Amri disebabkan polis mahu makan duit berkenaan.

“Manakala di ruangan komen pula, Hamri Amri memuat naik gambar resit saman yang dikeluarkan polis trafik IPD Lahad Datu atas kesalahan memandu lesen tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, kenyataan yang dimuat naik itu adalah tidak benar dan cuba menjatuhkan serta mencalar imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, IPD Lahad Datu memandang serius perkara itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Nasri berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung pemilik akaun berkenaan juga diminta membantu menyalurkan kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Sophia Thomas di talian 013-9392505 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sehubungan itu, Nasri menasihati pengguna media sosial supaya berhati-hati semasa mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen terutamanya yang boleh membawa kesan menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang atau jabatan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

10278