16 Bangunan Milik Kerajaan Sabah Jadi Wad Tambahan Rawat Covid-19

KOTA KINABALU: Sebanyak 16 bangunan milik kerajaan negeri dijadikan wad tambahan bagi merawat pesakit Covid-19 di Sabah yang semakin meningkat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun hari ini.

Bangunan kerajaan yang digunakan ialah kampus Institut Tadbiran Awam Negara, Kota Kinabalu; Kompleks Sukan Likas; dan Dewan Kompleks Sukan Ranau.

Turut digunakan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Tawau (Kejururawatan); Kompleks Penjara Tawau; Kompleks Sukan Tawau; dan Dewan Arena Belia Tawau.

Selain itu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria, Semporna; Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sandakan; Dewan Arena Belia Kunak; dan KB Resthouse Kota Belud.

Turut digunakan Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi Kinarut; Dewan Selagon Beaufort; PPR Batu Putih Sandakan; Dewan Masyarakat Keningau; dan PPR Taman Seri Sapagaya, Lahad Datu.

Masidi berkata, 7 hospital kerajaan sedia ada juga dijadikan sebagai sebagai hospital Covid-19.

”Sementara itu, pihak tentera juga akan membuka hospital hybrid di Semporna dan hospital medan di Tawau untuk beroperasi sebagai hospital biasa,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, kerajaan negeri mula mengagihkan bakul makanan kepada penduduk terkesan di daerah yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 9 Okt lalu.

Sehingga hari ini, sebanyak 5,134 bakul makanan diagihkan membabitkan daerah Lahad Datu sebanyak 1,150, Semporna (2,431), Kunak (533) dan Tawau (1,000).

”Bagi daerah Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Sandakan, Tuaran dan Papar, peruntukan disalurkan pada 10 Okt dan pengagihan bakul makanan dijangka dimulakan esok.

”Kerajaan negeri juga menerima bantuan sebanyak 6,300 bakul makanan daripada kerajaan persekutuan untuk diagihkan mengikut daerah iaitu di Kunak sebanyak 1,000, Semporna (1,000), Lahad Datu (1,500), Sandakan (1,500), Tawau (1,000) dan Kota Kinabalu (300).”

‘Bakul makanan akan diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala pengagihan akan dilaksanakan Jabatan Kebajikan Am Sabah dengan keutamaan untuk penduduk di kawasan PKPB yang terjejas serta keluarga yang tidak boleh keluar rumah kerana kuarantin.

Dalam perkembangan sama, Masidi berkata kerajaan negeri memberi kebenaran kepada 21 bengkel kenderaan, 17 bengkel motosikal, 25 kedai perkakasan, dan 23 kedai perkakasan elektrik untuk beroperasi di kawasan yang terlibat PKPB.

”Ini bagi memastikan dan menyokong perkhidmatan perlu dan jumlah berkenaaan akan ditambah sekiranya keperluan mendesak,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *