Kota Kinabalu Catat 207 Kes Aktif Covid-19

KOTA KINABALU: Kes baharu Covid-19 di daerah ini kekal tinggi untuk dua hari berturut-turut, dengan tambahan 47 kes baharu, semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam satu kenyataan berkata, dengan tambahan 47 kes baharu itu menjadikan bilangan kes kumulatif di Kota Kinabalu mencecah 246 kes, dengan 207 kes aktif.

Berbanding 3 Oktober, bilangan kumulatif kes di Kota Kinabalu adalah 209 kes. Namun disebabkan ada beberapa kes yang dipindahkan ke daerah lain, terdapat sedikit perubahan dalam bilangan kes kumulatif, yang menjadi 199 kes.

Katanya, disebabkan ramai orang menjalani saringan Covid-19 di Kota Kinabalu yang datang dari daerah lain maka, ada perubahan dari segi bilangan kes. Malah, proses penyiasatan kes mengambil sedikit masa disebabkan bilangan kes yang tinggi.

Menurutnya, setakat semalam, sebanyak 126 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah. Dengan itu, bilangan kumulatif adalah sebanyak 2,389 kes. Daripada jumlah itu, 1,206 kes aktif yang masih dirawat di hospital berpakar dan 1,169 kes pulih dilaporkan.

Kes kematian akibat Covid-19 di Sabah kekal dengan 14 kes.

Sebanyak 11 daerah termasuk Kota Kinabalu mencatatkan pertambahan kes baharu semalam. Daerah lain yang menunjukkan pertambahan kes adalah Semporna (23), Tawau (23), Lahad Datu (6), Papar (6), Penampang (6), Tuaran (5), Putatan (3), Sandakan (3), Kota Belud (2) dan Sipitang (1).

Dengan tambahan kes itu, bilangan kes kumulatif dilaporkan di Semporna adalah sebanyak 516 kes; Tawau (892); Lahad Datu (324); Papar (37); Penampang (63); Tuaran (55); Putatan (30); Sandakan (67); Kota Belud (12); dan Sipitang (12).

Daerah lain yang turut mencatatkan kes aktif adalah Kunak, Kinabatangan, Telupid, Tongod, Tambunan, Beaufort, Ranau, Pitas, Kota Marudu dan Kudat.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

8703