Semua Pemandu Bas Mini Di Sandakan Perlu Jalani ‘Swab Test’ Esok

Semua pengendali bas mini di Sandakan dikehendaki menjalani ujian swab Covid-19 dilaksanakan kakitangan Pejabat Kesihatan Sandakan bermula jam 9 pagi esok.

SANDAKAN : Pemandu bas mini di Sandakan dikehendaki menjalani saringan koronavirus (Covid-19) di Dewan Masyarakat Sandakan di sini esok.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung berkata, pejabat LPKP Sandakan mengeluarkan arahan itu atas permintaan Pejabat Kesihatan Sandakan hari ini.

“Semua pengendali bas mini dikehendaki menjalani ujian swab Covid-19 dilaksanakan kakitangan Pejabat Kesihatan Sandakan bermula jam 9 pagi esok.

“Mereka dinasihatkan melakukan apa yang diperlukan bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Polis 1967 serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kim Hiung berkata, LPKP Sandakan juga akan membantu pemandu bas mini bagi mendapatkan Kod Respons Pantas MySejahtera untuk mereka memantau penumpang mereka, sambil menambah bantuan sama akan dihulurkan kepada pemandu teksi dan pengendali bas sekolah.

“Ada lagi pemandu yang belum mendaftar untuk Kod Respon Pantas, sama ada mereka tidak nampak keperluannya atau mereka tidak tahu untuk membuatnya. Pejabat LPKP Sandakan akan membantu mereka dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Bas Mini Sandakan, Mohd Harun Ramli berkata, lebih daripada 300 pemandu bas akan terlibat dalam saringan esok.
“Pemandu bas termasuk ahli jawatankuasa bagi setiap laluan bas di Sandakan sudah dimaklumkan mengenai perkara ini dan akan berikan kerjasama dengan mematuhi arahan ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1498