PPR Sapagaya Jadi Pusat Kuarantin COVID-19 Berpusat Lahad Datu

Pagar berduri dipasang berhampiran penempatan.

LAHAD DATU: Pusat kuarantin PPR Seri Sapagaya akan mula menempatkan pesakit COVID-19 secara berpusat di sini, mulai Selasa ini.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah, Juraimin Jadil berkata berikutan peningkatan kes yang mendadak di daerah ini pusat itu dibuka bagi menampung jumlah pesakit yang meningkat.

“Selepas diwartakan pusat ini dibuka untuk penempatan pesakit COVID-19 yang perlu dikuarantin dari kalangan mereka yang berada di tahap stabil.

“Penempatan di sini juga akan menjimatkan masa dan tenaga penugasan pasukan barisan hadapan,” katanya.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Lahad Datu berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau perkembangan kerja-kerja persiapan kemudahan pesakit di pusat itu, di sini, semalam.

Turut serta, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nasri Mansor, Panglima Briged Ke-13 Infantri, Brigedier Jeneral Abdul Razak Hussain, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Lahad Datu Kusnadi Manuwar, Pegawai Kesihatan Kawasan Lahad Datu Dr. Amirul Hisham Zainol.


Menurutnya, apabila beroperasi dua pusat kuarantin iaitu di MPOB dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Tungku akan ditutup.

Mengulas lanjut, PPR Seri Sapagaya akan membuka tiga blok untuk menempatkan pesakit kuarantin COVID-19 termasuk satu blok untuk kegunaan para petugas.

Katanya, sekiranya ada keperluan, kesemua lima blok bersedia untuk digunakan agar dapat dimanfaatkan dalam mengawal perebakan wabak pandemik itu.

PPR Sapagaya yang mempunyai 410 unit sedang dalam proses akhir untuk diduduki golongan sasar secara sewaan.

Sehingga kelmarin difahamkan 163 individu menjalani kuarantin iaitu 50 orang di ILIM dan 113 MPOB serta 1,301 orang kuarantin di rumah. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1458