Hamzah Zainudin, Ismail Sabri Antara Empat Dapat Datuk Seri Panglima Sabah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri), Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan).

KOTA KINABALU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendahului senarai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kebesaran negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-67 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, hari ini.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Turut tersenarai menerima SPDK pada tahun ini ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.

Sementara itu, seramai 33 orang tersenarai menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerimanya ialah Peguam Besar Sabah, Brenndon Keith Soh; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Julita Majungki; ADUN Bingkor, Robert Tawik dan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sipitang, Matbali Musah.

Yang lain ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor; Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin; bekas pemain bola sepak Sabah, mendiang Peter Rajah; Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah, Umar Sarim Saidin; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, Dr Mariana Tinggal dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Fredian Gan.

Turut tersenarai menerima PGDK ialah Ketua UMNO Papar, Jamal Nerubi; Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Guan Dee Koh Hoi; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman; Ketua Wanita UMNO Beaufort, Siti Aminah Aching.

Amir @ Amir Shah Yaakub, Chee Chi Nyen, Daud Sedek @ Mohd Daud, Khoo Thau Yong, Lo Vun Che @ Jessica, M Yahya Dunggi, Marahan @ Omarkhan Amirusin, Mariam Omar, Matthew Tan Yaw Tzuu, Dr Mohaizi Mohamad, Mohammed Sahid Nawab Khan, Naim Ahmat, Ng Kiat Min, Ng Siew Chon, Raymond Sze To Mei Thong, Soon Ket Woon, Tang Yong Siang dan Tay Seng Chai.

Seramai 65 orang menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), diikuti Ahli Darjah Kinabalu (ADK) (94), Bintang Setia Kinabalu (BSK) (156), Bintang Kinabalu (BK) (186), Pingat Perkhidmatan Terpuji (CH) (133) dan seramai 11 penerima Jaksa pendamai (JP).

Secara keseluruhan seramai 679 orang penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-67 Yang di-Pertua Negeri Sabah pada tahun ini.

Sempena sambutan berkenaan, hanya istiadat pengurniaan pingat diadakan pada tahun ini yang dijadualkan di Istana Negeri pada jam 9 pagi ini.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3884