Pertukaran Portfolio Bukan Isu Besar – Bung Moktar

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika berucap di kediamannya di Luyang, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Pertukaran portfolio antara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Masidi Manjun tidak menjadi satu isu yang akan mengganggu pentadbiran kerajaan baharu negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor pagi tadi mengumumkan Bung Moktar memegang portfolio Menteri Kerja Raya, manakala Masidi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Menteri Kewangan 2.

Mengulas perkara itu, Bung Moktar menjelaskan walaupun terdapat salah faham kecil, ia bukan satu permasalahan besar.

“Sebenarnya ini bukan isunya melainkan hanya terdapat salah faham dalam komunikasi. Perubahan ini boleh berlaku mengikut kesesuaian dan sebenarnya tidak ada masalah pun.

“Kami teruja kerana kini kita adalah sebahagian daripada kerajaan, jadi tanggungjawab kami adalah untuk membantu kerajaan membangunkan negeri dan rakyat, itulah fokus utama kami.

“Kami akan saling bekerjasama dan saya juga yakin kami akan bertahan lama dalam kerajaan ini,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Luyang di sini, hari ini.

Sementara itu, Bung Moktar turut berkata akan melapor diri di pejabat Kementerian Kerja Raya esok dan bertemu kakitangan kementerian yang diterajui beliau.

Mengulas mengenai penularan wabak Covid-19, Timbalan Ketua Menteri itu juga memaklumkan suah mendapat taklimat penuh daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

“Kami diberikan taklimat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri berhubung dengan perkembangan negeri termasuk penularan wabak Covid-19 yang meningkat dan juga amat membimbangkan.

“Saya juga sempat bertanya lanjut dengan beliau mengenainya dan beliau memberitahu kita masih mampu menanganinya dengan apa cara sekalipun.

“Jika keadaan memaksa, kami akan meminta untuk diadakan ‘lock down’ beberapa kawasan terutamanya zon merah sebab kami harus melindungi rakyat.

“Inilah cabaran pertama bagi kerajaan baru ini untuk menangani Covid-19 di Sabah,” katanya.

Bung Moktar turut memberitahu kerajaan negeri juga akan membincangkan mengenai beberapa kementerian yang mungkin akan diubah suai mengikut keperluan terutamanya dalam menangani wabak Covid-19 di Sabah.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *