Shafie Mohon Maaf Atas Kenyataan Mohammadin Ketapi

Saya selaku Presiden Parti Warisan Sabah dan Ketua Menteri Sabah ingin memohon maaf kepada setiap anggota keselamatan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan seorang pemimpin parti baru-baru ini.

Kenyataan beliau yang dikeluarkan secara spontan telah disalah erti kan dan sama sekali tidak berniat untuk menghina perjuangan para perajurit dan anggota keselamatan kita yang mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan rakyat dan negara ini.

Sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan, saya amat memahami keperitan yang terpaksa ditempuh anggota keselamatan ketika menjaga sempadan negara terutama di pos-pos kawalan Sabah yang terpencil dan serba kekurangan.

Setiap anggota yang berada di perbatasan bukan sahaja bersedia mengorbankan nyawa demi keselamatan rakyat Malaysia, malah mereka juga terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga sepanjang tempoh bertugas.

Dalam berdepan pandemik Covid-19, saya selaku Ketua Menteri Sabah turut memahami dan menghargai peranan anggota keselamatan kita sebagai frontliners menentang musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya.

Atas rasa tanggungjawab itu saya telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta dana kerajaan negeri untuk diagih-agihkan kepada semua frontliners termasuk RM1 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RM1 juta kepada Kem Lok Kawi. Sumbangan ini tidak dilakukan di mana-mana negeri di Malaysia.

Jumlah tersebut tidaklah banyak jika dibandingkan dengan risiko dan pengorbanan wira-wira negara ini, namun itu membuktikan komitmen Kerajaan Sabah meskipun agensi keselamatan di bawah bidang kuasa Persekutuan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *