Darell Setuju Pesakit Covid-19 Berhak Mengundi

PENAMPANG: Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Darell Leiking menyokong Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung cadangan membenarkan pesakit Covid-19 dan yang dikuarantin untuk mengundi awal.

Beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog bersetuju dengan Presiden Warisan supaya tiada seorang pun yang boleh dinafikan haknya untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu untuk menanggani situasi itu sekiranya ada pesakit Covid-19 dibenarkan untuk mengundi.

“Tidak ada sesiapa yang harus dinafikan hak mereka untuk mengundi, inilah asas dalam demokrasi kita.

“Oleh itu, jika mereka diberi kesempatan untuk mengundi ketika berada dalam tempoh kuarantin, saya rasa tidak akan menjadi masalah kepada SPR, malah mereka harus diberi untuk melakukan undi awal dan SPR dapat menanganinya,” katanya kepada media selepas berkempen di Kampung Sugud, semalam.

Darell dalam pada itu berkata, peruntukan kepada SPR juga harus mencukupi berhubung cadangan untuk melakukan pengundian awal bagi memastikan aspek keselamatan, keamanan dan kemungkinan membahayakan kesihatan harus diambil perhatian.

Sabah terutama di pantai timur mengalami peningkatan kes Covid-19 dan perkara ini mendapat perhatian daripada pihak pemimpin dari parti Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Sabah (PCS) yang mengecam cadangan Mohd Shafie membenarkan pesakit wabak itu keluar mengundi.

Beliau dituduh mementingkan diri sendiri demi mahukan kemenangan dalam PRN sehingga sanggup menggadaikan kesihatan orang ramai.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *