‘Bawalah Ke Mahkamah, Kita Ada Bukti’ – Shafie

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal tidak gentar untuk berdepan dengan Datuk Seri Anifah Aman di mahkamah berhubung isu tanah Yayasan Sabah.

“Bawalah ke mahkamah, kita ada bukti semua. Pendaftaran syarikat, SSM ada nyatakan siapa pemiliknya. Kita ada semua maklumat mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, semua data sudah ada dan penyelewengan itu dilakukan oleh mereka.

“Kita akan dedahkan semua apa yang terkandung dalam data tersebut. Syarikat itu dimiliki oleh keluarga Anifah Aman.

“Bagaimana di tengah-tengah kawasan hutan seluas 50,000 ekar tanah Yayasan Sabah ada kilang dan kilang tersebut 50 peratus pemilikan adalah milik mereka,” katanya ketika mengulas kenyataan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Shafie selepas pilihan raya.

Sebelum ini, Mohd Shafie mendedahkan kontrak 100 tahun tanah milik Yayasan Sabah yang diberikan kepada ahli keluarga Tan Sri Musa Aman dan Anifah pada 2015 dan 2018.

Tanah tersebut berkeluasan 11,000 hektar dan 50,000 hektar yang terletak di Hutan Simpan Kalabakan yang diberi kepada Jawala Plantation Sdn. Bhd dan Rentak Hasil Sdn. Bhd.

Kontrak perjanjian tanah itu akan berakhir pada 2115 dan 2118.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *