Keadaan Keselamatan Di Sabah Tenang, Terkawal Menjelang Penamaan Calon

KOTA KINABALU, 11 Sept: Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah esok, keadaan keselamatan di negeri ini pada keseluruhannya terkawal dan tenang, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.

“Setakat ini tiada apa-apa maklumat berkaitan masalah (diterima polis) tentang keselamatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hazani berkata semua ketua polis daerah juga telah diarahkan supaya berbincang dengan bakal calon agar menasihatkan penyokong masing-masing mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu dalam kenyataan media, Hazani berkata calon perlu memohon permit daripada ketua polis daerah sebelum mengadakan ceramah dalam tempoh berkempen dengan jumlah peserta tidak melebihi 250 orang serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, calon juga dinasihatkan agar mengingatkan para penyokong supaya tidak melakukan vandalisme atau khianat terhadap poster-poster dan bendera pihak lawan sementara orang ramai juga diminta tidak menyalahgunakan multimedia  untuk menimbulkan isu-isu sensitif serta provokasi yang boleh menimbulkan kekacauan serta menjejaskan ketenteraman awam.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

668