Suami Isteri Warga Asing Ditahan Edar Syabu Di Semporna

SEMPORNA: Bukan sahaja berada di negara ini secara haram, sepasang suami isteri warga Filipina ditahan selepas didakwa terbabit dalam penjualan dadah jenis syabu, di Pulau Mabul, dekat sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, polis turut merampas 11 peket lutsinar mengandungi syabu seberat 0.9 gram dalam milikan suspek.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintenden Mohd Yacob Murad berkata, terdahulu pihaknya melakukan serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di situ.

“Terdapat dua individu iaitu lelaki dan wanita masing-masing berumur 45 dan 40 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut dilakukan, kami berjaya menjumpai 11 peket lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai syabu disimpan dalam beg pinggang berjenama,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Tambah Mohd Yacob, beg itu dijumpai di bawah tilam dalam rumah pasangan terbabit dipercayai cuba disembunyikan suspek.

“Selain syabu, polis turut merampas wang tunai RM 221 dipercayai hasil jualan dadah berkenaan.

“Pasangan suspek itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditahan,” katanya.

Sehubungan itu, semua barangan tersebut dirampas dan suspek ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *