Antara 2 Darjat, ‘Double Standard’, Kata Guan Eng Selepas Dihalang Masuk Sabah

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dibenarkan masuk semula ke Sabah selepas setengah jam ditahan di pejabat imigresen. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dihalang masuk ke Sabah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam tadi.

Katanya, beliau berjaya melepasi imigresen lapangan terbang itu selepas diberikan pas lawatan sosial.

Bagaimanapun, sebelum menaiki kereta seorang pegawai kanan imigresen menghampirinya dan memintanya masuk semula.

“Sudah hampir nak masuk kereta, seorang pegawai imigresen kanan datang minta saya masuk semula. Saya berikan kerjasama dan ikut ke pejabat imigresen,” tulisnya di Facebook.

Katanya, beliau didakwa dihalang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari memasuki Sabah.

“Mengapa saya dihalang masuk ke Sabah? Ini lagi 1 kes antara 2 darjat, ‘double standard’ kah?

“Sedangkan ini kuasa kerajaan negeri dan bukan kuasa kerajaan pusat. Adakah ini 1 lagi usaha campur tangan pusat terhadap hak dan kuasa negeri?,” soalnya.

Lim turut mengaitkan kes Najib Razak yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman serta Zahid Hamidi yang kini berdepan kes mahkamah juga boleh memasuki Sabah tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Bagan itu dibenarkan masuk semula ke negeri itu selepas setengah jam ditahan.

“Takpe lah, nanti saya akan tanya ketua menteri Shafie Apdal, adakah beliau tak mahu saya masuk Sabah?” soalnya lagi.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *