Penuntut Kolej Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Telupid – Ranau

Keadaan kedua-dua kenderaan selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Nunuk Ragang di Kilometer 50 Jalan Ranau-Telupid, Ranau.

RANAU: Seorang penuntut kolej maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan pacuan empat roda dalam kejadian di Kampung Nunuk Ragang di Kilometer 50 Jalan Ranau-Telupid, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Onnel Lukas, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kancil dan Toyota Hilux.

“Hasil siasatan mendapati, Perodua Kancil dari arah Telupid menghala ke Kota Kinabalu dan sebaik tiba di lokasi, mangsa bertindak memintas sebuah kenderaan lain dihadapannya.

“Bagaimanapun, kenderaan terbabit hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan dalam masa sama, pacuan empat roda datang dari arah Kota Kinabalu menghala ke Telupid tidak sempat mengelak kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, akibat kejadian itu berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan.

“Pemandu Perodua Kancil meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu pacuan empat roda mengalami cedera ringan.

“Mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan seterusnya dibawa ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan sepasukan anggota bomba dikejar ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

Menurut Jurucakap, pemandu Perodua Kancil tersepit dalam kenderaan dan usaha mengeluarkan mangsa segera dilakukan dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan di dalam Toyota Hilux terdapat empat mangsa yang cedera ringan serta dihantar ke Klinik Kesihatam Paginatan Ranau untuk rawatan susulan,” katanya.

Jurucakap berkata, operasi ditamatkan pada pukul 3.14 petang selepas kawasan didapati selamat.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *