ESSCOM Kesan Tekong Bot Bersubahat Lindungi PTI Di Sabah

KALABAKAN: Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) melalui unit perisikannya sedang mengesan tekong bot warga tempatan dan asing yang bersekongkol dengan pendatang haram untuk keluar dan masuk di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Pengarah Bahagian Tindakan Awam ESSCom,Terry Henry berkata tindakan itu bagi memutuskan rantaian berkaitan pendatang haram di Sabah.

“Mereka yang didapati bersekongkol dan cuba melindungi pendatang haram boleh diambil tindakan mahkamah di bawah Akta Imigresen Perkara 56(a)(1), jika sabit kesalahan boleh dihukum lima tahun penjara, denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya pada program Merdeka @ komuniti daerah Kalabakan anjuran bersama ESSCom dan Jabatan Penerangan Tawau di sini, Selasa.

Beliau turut memohon semua pihak tidak bersubahat dan memberi perlindungan kepada pendatang haram kerana ia salah di sisi undang-undang.

Sementara itu, katanya ESSCom kini melaksanakan Operasi Cegah Pati (OCP) di dua daerah tumpuan pendatang haram iaitu Tawau dan Sandakan.

Menurut Terry,  OCP yang dikoordinasi ESSCom itu turut melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Di Tawau, beliau berkata sebanyak 3,115 pemeriksaan dilakukan sepanjang OCP dilaksanakan sejak 20 April sehingga semalam, melibatkan 23 kes tangkapan pendatang haram berumur antara dua hingga 60 tahun.

Katanya, sebanyak 41 bot membabitkan 615 pendatang haram warga Indonesia turut diusir sepanjang tempoh itu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata terdapat 37 titik pendaratan pendatang haram dikenal pasti membabitkan 10 daerah di Sabah.

Ia membabitkan 11 kawasan di Sandakan; Lahad Datu (lima); masing-masing empat kawasan di Tawau, Kudat dan Beluran; Kunak (tiga); dua kawasan di Kota Marudu dan Kinabatangan serta satu kawasan di Semporna dan Pitas.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1302