‘Saya Meringkuk Dalam Penjara Pertahan Tanah Ada’ – Ketua Kampung Sinurai

Maning

RANAU: Meringkuk dalam penjara selama enam bulan kerana mempertahankan tanah adat milik orang kampung tidak akan mematahkan semangat, Maning Kolowiton.

Ketua Kampung, Kg Sinurai ini berkata, biarpun pernah disumbat dalam penjara kerana dituduh menghalang pengukuran tanah dan mencederakan juruukur, itu bukan alasan untuknya berhenti berjuang mempertahankan tanah adat milik mereka.

Beliau berkata, kawasan kampung itu telah diteroka oleh penduduk di situ sejak 70an. Maka, bila ada pihak cuba mengambil hak mereka, sudah pasti ianya akan dibantah.

Pelbagai cubaan dilakukan pihak luar yang mewakili bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beluran, Ajad Oyong untuk merampas tanah milik mereka.

“Bantahan demi bantahan telah dikemukakan namun,  sehingga kini isu tanah Mawasi yang melibatkan tiga kampung ini langsung tiada penyelesaian.

“Jika diimbau kembali, pada 2005 polis dan pegawai tanah terlibat datang membawa surat pengusiran kerana difahamkan tanah ini telah menjadi milik bekas ADUN Beluran tersebut.

“Ketika itu ada kawasan ladang orang kampung yang diradu dengan jentolak. Bila penduduk mogok di jalan raya barulah mereka berhenti meneruskan kerja-kerja pengambilan tanah,” katanya kepada Borneo Today, baru-baru ini.

Tidak cukup dengan itu, pada 2014 pihak pejabat tanah sekali lagi menjalankan kerja-kerja pengukuran dan penduduk kampung melakukan bantahan sekali lagi.

Melihat tiada penyelesaian tuntas terhadap isu ini, Maning berharap kerajaan Warisan di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dapat membantu menyelesaikan isu tuntutan tanah Mawasi ini.

Katanya, melihat penyerahan geran tanah yang dilakukan di beberapa daerah baru-baru ini membuatkan penduduk Mawasi menyimpan sedikit harapan untuk kerajaan meneliti dan membantu menyelesaikan tuntutan tanah mereka.

“Kami memohon keadilan untuk menyelesaikan masalah kami ini melalui bantuan kerajaan.

“Rakyat telah memberi undi jadi kami minta simpati dan perhatian kerajaan bagi membantu kembalikan hak-hak kami yang tercicir selama ini, ” ujarnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3674