Dijangka 100 Individu Jalani Saringan Covid-19 Di Semporna

SEMPORNA: Dianggarkan lebih 100 individu termasuk pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna diarah menjalani ujian saringan berikutan seorang tahanan lokap wanita warga Filipina disahkan positif Covid-19, semalam.

Menurut sumber, jumlah itu turut membabitkan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan tahanan lokap balai polis berkenaan.

“Ketika ini, pasukan perubatan masih dalam proses mengenal pasti semua kontak rapat pesakit bagi menjalani ujian saringan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, wanita warga Filipina berusia 29 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika cuba menyeludup masuk secara haram dari negara jiran ke Semporna, Ahad lalu.

“Suspek antara 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan ketika cuba menyeludup masuk ke negaea ini secara haram menggunakan sebuah bot pam di antara perairan Pulau Bohey Dulang dan Pom Pom.

“Suspek kemudiannya ditempatkan di lokap tahanan sementara sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Semporna untuk menjalani ujian saringan Covid-19, sehari selepas ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Hazani,  keputusan ujian saringan Covid-19  diperoleh pada jam 11 pagi, semalam, sekali gus mengesahkan tahanan wanita itu positif Covid-19.

“Ketika ini, semua tahanan Pati yang menaiki bot bersama dengan suspek, tahanan lokap dan pihak berkuasa yang berurusan atau melakukan kontak rapat dengan pesakit diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin selama 14 hari.

“Proses nyah cemar juga dilakukan di seluruh kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna terutamanya lokap yang menempatkan suspek wanita tersebut,” katanya.

Orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *