Masalah Jambatan ‘Putus’ Di Kampung Ranggu Selesai Kurang 48 Jam

Jaujan ketika melawat lokasi jambatan runtuh.

TAWAU: Lebih 2,000 penduduk Kampung Ranggu menarik nafas lega apabila jambatan di Jalan Mariano yang terputus semalam, berjaya dipulihkan dalam tempoh kurang 48 jam.

Semalam, jambatan itu dilaporkan rosak teruk selepas sebuah lori yang membawa muatan pasir dianggarkan lebih 20 tan melaluinya.

Keadaan itu menyebabkan lori berkenaan hampir terjunam ke sungai dan jambatan diperbuat daripada kayu itu rosak sekali gus menyukarkan ribuan penduduk di beberapa buah taman perumahan di situ untuk keluar atau masuk melakukan urusan harian.

Bagaimanapun, masalah penduduk tersebut mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Jaujan Sambakong apabila terbaca mengenainya di laman sosial Facebook, semalam.

“Sebaik melihat berita yang tular tersebut, saya segera menghubungi Bahagian Kejuruteraan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk turun padang hari ini bagi menyelesaikan masalah penduduk.

“Kebetulan semalam berada di Semporna dan saya mengambil keputusan hadir ke sini memantau kerja baik pulih bagi memastikan kebajikan penduduk terjamin,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Menurut Jaujan, dia terpanggil untuk menyelesaikan segera masalah itu memandangkan Jalan Mariano adalah satu-satunya jalan alternatif bagi penduduk Kampung Ranggu selepas jambatan jalan utama di situ sedang dalam proses naik taraf.

“Tidak kiralah ini kawasan siapa (Dewan Undangan Negeri Balung), kebajikan rakyat adalah paling utama kerana mereka memerlukan jalan ini untuk melakukan urusan harian seperti ke sekolah atau bekerja bermula Isnin nanti.

“Saya berharap penduduk dapat bersabar atas segala kesulitan yang berlaku khususnya membabitkan kelewatan pembinaan jambatan di jalan utama,” katanya.

Tambah Jaujan, kerja pembaikan jambatan di Jalan Mariano dilakukan syarikat konsensi yang dilantik MPT sebelum kos baik pulih itu ditanggung oleh syarikat lori berkaitan.

“Saya turut mengarahkan MPT memasang palang dan papan tanda di jambatan itu yang tertera had berat kenderaan yang dibenarkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

CAHRUN

Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui Cahrun Abd Sani, 44, gembira melihat tindakan pantas Kerajaan Negeri dan MPT dalam menyelesaikan masalah penduduk.

“Memang terkejut melihat kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah penduduk di sini.

“Saya berharap agar kerja baik pulih itu dapat diselesaikan dengan kadar segera bagi membolehkan penduduk menggunakannya,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2370