(VIDEO) Pemandu Ditumbuk & Teksi Dirosakkan Kerana Tegur Penunggang Motosikal Di Kota Belud

Suspek menumbuk pemandu teksi dan menendang cermin sisi kenderaan sehingga patah.

KOTA BELUD: Pemandu teksi warga emas bukan sahaja ditumbuk, malah kenderaannya turut dirosakkan selepas menegur seorang lelaki yang memberhentikan motosikal di selekoh dekat Jalan Pekan Kota Belud, kelmarin.

Kejadian jam 5 petang itu menyebabkan pemandu berusia 68 tahun cedera di muka selain cermin sisi kiri teksinya rosak.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan mangsa dan siasatan mendapati kejadian bermula apabila mangsa memandu teksi Toyota Innova dari Kota Marudu menuju Kota Kinabalu, dihalang apabila suspek memberhentikan motosikalnya secara tiba-tiba.

“Mangsa mendakwa menegur suspek supaya memberi laluan, namun suspek berang kemudian menumbuk muka mangsa selain menendang cermin sisi teksinya sehingga patah.

“Susulan laporan, suspek berusia 54 tahun ditahan pada 11.35 malam hari sama di tepi jalan di Kampung Taun Gusi,” katanya.

Menurut Mohd Zaidi, suspek mengaku menumbuk mangsa dan merosakkan kenderaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427/ 323 Kanun Keseksaan.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4395