Budak 8 Tahun Disambar Buaya Di Sungai Kinabatangan

Penduduk kampung dan pihak berkuasa berbincang mengenai operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak berusia lapan tahun yang disambar buaya di Sungai Kinabatangan. – Foto Ihsan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia

KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak lelaki disambar buaya dalam satu kejadian di Sungai Kinabatangan, dekat Kampung Mubibbah Hujung, di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi, ketika Asmin Abdullah, 8, dikatakan mandi sambil menemani bapanya menurunkan perahu di sungai itu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan, Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel, berkata ketika kejadian kanak-kanak itu dikatakan berada di belakang dan bapanya hanya terdengar kocakan air secara tiba-tiba.

“Apabila berpaling, bapa mangsa terkejut melihat anaknya disambar reptilia itu lalu hilang selepas disyaki ditarik ke dalam air.

“Bapa mangsa cuba menyelamatkan anaknya itu namun sukar dan sejam kemudian melihat kanak-kanak itu timbul dan berada di mulut buaya.

“Penduduk cuba mengambil dan mendekati reptilia itu namun buaya berkenaan membawa mangsa tenggelam semula ke dalam air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Roslan berkata, pihaknya yang menerima maklumat menggerakkan operasi mencari dan menyelamat, namun sehingga jam 5.30 petang mangsa belum ditemui.

“SAR ditangguhkan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan dan akan disambung semula jam 8 pagi esok,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2763