Lebih 3,000 Geran Tanah Anak Negeri Sabah Diserah Pada Penduduk – Shafie

Mohd Shafie menyerahkan geran tanah kepada Ketua Peneroka Felda Sahabat 1, Abdul Matalip Sarihat.

LAHAD DATU, 9 Ogos: Lebih 3,000 geran tanah anak negeri telah diserahkan kepada rakyat Sabah setakat ini pada tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata penduduk yang telah menerima manfaat pemberian geran tanah itu, antaranya di Tawau, Kalabakan, Keningau dan Tambunan.

“Pihak yang memohon geran tanah tetapi belum dapat, kita akan pastikan diurus dengan baik oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

Mohd Shafie menyerahkan geran tanah kepada Ketua Peneroka Felda Sahabat 1, Abdul Matalip Sarihat.

“Sebelum ini, kita menyerahkan geran tanah kepada penduduk Keningau (2,300), Tambunan (500) Kalabakan dan Tawau sebanyak 318 geran,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan geran tanah kepada 259 penduduk Kunak dan Lahad Datu di sini, hari ini. 

Mohd Shafie pada hari ini  turut menyerahkan geran tanah anak negeri kepada 93 penduduk daerah kecil Tungku serta 800 lot penempatan kepada peneroka Felda Sahabat.

Beliau berkata pemberian geran tanah itu bagi memudahkan penduduk untuk mendirikan rumah selain diusahakan untuk tanaman.

Mohd Shafie turut dijadual ke Kinabatangan, Kuala Penyu dan Beluran untuk penyerahan geran tanah pada minggu depan.

Sementara itu, mengenai pembayaran cukai jualan lima peratus produk petroleum kepada kerajaan negeri, beliau berkata hanya Petronas belum membuat bayaran berkenaan.

“Yang lain ada bayar lima peratus cukai jualan produk petroleum kepada kerajaan negeri termasuk Shell dan ConocoPhillips,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan berunding dengan Petronas untuk memastikan cukai itu dibayar.

Pada April lalu, Mohd Shafie mengesahkan kerajaan Sabah mula menguatkuasaka cukai jualan lima peratus ke atas semua produk petroleum di negeri itu.

Syarikat terlibat ialah Petronas Carigali Sdn Bhd, Hibiscus Petroleum Bhd, Repsol Oil&Gas Malaysia Limited, PTTEP Sabah Oil Limited, ConocoPhillips Asia Limited, Sabah Shell Petroleum Company, PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Producksi, Shell Energy Asia Limited dan Petronas Floating LNG.- BERNAMA

993