Giliran Penduduk Tawau & Kalabakan Dapat Geran Tanah Selepas 40 Tahun Menanti

Mohd Shafie menyampaikan geran tanah kepada salah seorang penerima sempena Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan penyerahan geran tanah di daerah Tawau dan Kalabakandi Dewan Masyarakat Tawau, hari ini.

TAWAU: Satu persatu kampung dan tanah yang telah diterokai penduduk sejak puluhan tahun lalu tetapi bertukar menjadi ‘setinggan’ kerana diambil oleh kerajaan semasa zaman pemerintahan terdahulu dikembalikan kepada rakyat yang berhak.

Terbaharu hari ini, selepas hampir 30 tahun menanti, masyarakat di lima buah kampung di Tawau dan sebuah kampung di Kalabakan turut menerima manfaat daripada dasar kerajaan itu apabila menerima geran tanah masing-masing.

Semua 318 geran dengan keluasan tanah 427 hektar itu diserahkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kepada wakil penerima dalam majlis penyerahan geran tanah hari ini.

Mohd. Shafie berkata, geran tanah itu adalah hak rakyat yang dituntut daripada kerajaan memandangkan tanah-tanah terlibat telah diterokai sejak puluhan tahun lalu, namun diambil oleh kerajaan terdahulu melalui agensi.

“Hari ini contohnya kita bagi lot-lot tanah kepada rakyat di kawasan Tawau, di merata temat di Tongod, di Keningau, di Ranau di Tongod 40 tahun ada orang yang di situ duduk berpuluh tahun 40 tahun, kerajaan negeri ambil sebagai hutan simpan orang di situ menjadi setinggan.

Mohd Shafie menyampaikan geran tanah kepada salah seorang penerima sempena Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan penyerahan geran tanah di daerah Tawau dan Kalabakandi Dewan Masyarakat Tawau, hari ini.

“Saya telah beri arahan kepada pihak jabatan tanah supaya mansuhkan bagi tanah kepada rakyat, di Lahad Datu, di Kunak, Sawit Kinabalu yang berpuluh ribu hektar saya nyatakan kepada mereka GLC kerajaan negeri punya tetapi peneroka ini rakyat punya jangan rakyat gaduh dengan GLC,” katanya.

Ketua Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan Penyerahan Geran Tanah di Daerah Tawau dan Kalabakan.

Yang turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew; Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sariifuddin Hata serta Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Bernard Liew.

Lima buah kampung di Tawau yang terlibat menerima geran berkenaan ialah Kuala Merotai, Serudong, Apas Balung, Sungai Burong Mas-Mas dan Sungai Tamang Pulau Sebatik manakala di Kalabakan melibatkan Kampung Ulu Murut.

Sementara itu, selain geran tanah, sebanyak 67 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Batu Otentik pada 26 Ogos tahun lalu turut menerima lot tanah masing-masing untuk membolehkan mereka membina rumah baharu.

Pemberian lot tersebut turut memenuhi titah Yang Dipertuan Agong sebelum ini agar semua mangsa kebakaran diberikan lot baharu untuk mereka membina semula kehidupan bersama keluarga masing-masing.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Mohd. Shafie menegaskan, mana-mana tanah yang telah diterokai rakyat terlebih dahulu sebelum diambil alih oleh agensi kerajaan akan dikembalikan kerana mereka telah membina kehidupan di situ.

“Kalau sekiranya di mana berlaku contohnya di kawasan itu sudah pun ada penduduk di situ tetapi GLC ambil alih menggunakan bidang kuasa yang termaktub dalam undang-undang Jabatan Tanah dan Ukur kerajaan boleh ambil tanah itu gazetkan.

“Tetapi mereka sudah duduk di situ berpuluh tahun dan telah pun mempunyai rumah di kawasan itu kalau sekiranya contohnya keadaan itu berlaku maka kita kena siasat secara mendalam dan kalau ada keperluan kita bagi kita akan atur,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *