Musa & 33 ADUN Saman TYT, Mohon Injuksi Pembubaran DUN

Tan Sri Musa Aman mengetuai 32 Ahli Dewan Undangan (ADUN) untuk mengemukakan saman ke atas Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Juhar Mahiruddin berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini.

ADUN tunggal UMNO itu mahu mendapatkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi mencabar keputusan yang dibuat pada 30 Julai lalu.

Menurut The Star Online permohonan tersebut difailkan firma FT Ahmad and Co pada 3 Ogos dan dijangka akan didengar di depan Pesuruhjaya Kehakiman Leonard Chin esok.

Dalam permohonan tersebut Musa dan 32 ADUN lain meminta agar mahkamah memberikan injunksi terhadap pembubaran DUN Sabah serta mempersoalkan permintaan bertulis Datuk Seri Mohd Shafie Afdal kepada Tun Juhar bagi pembubaran berkenaan yang dibuat pada 29 Julai lalu.

Peguam yang mewakili ADUN terbabit dijangka akan berhujah bahawa TYT tidak membubarkan DUN Sabah mengikut peraturan seperti ditetapkan Fasal 21(2) Perlembagaan Sabah serta semangat Fasal 7(1) mengenai kehilangan sokongan majoriti ADUN terhadap Mohd Shafie.

Difahamkan, Peguam Besar Sabah, Brenddon Keith Soh, akan bertindak mewakili Tun Juhar dan kerajaan negeri dalam perbicaraan berkenaan.

Selain Juhar dan Mohd Shafie masing-masing sebagai responden pertama dan kedua, Musa dan 32 ADUN turut menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan negeri sebagai responden ketiga dan keempat. – Suara.tv

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

9726