Dua Laporan Polis Dibuat Terhadap Zulkarnain Mahdar

KOTA KINABALU: Tindakan biadab Datuk Zulkarnain Mahdar yang mencemar nama baik Istana Negeri Sabah dengan menghina dan membuat tuduhan liar terhadap Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menimbulkan kemarahan rakyat.

Setakat petang ini, dua laporan polis telah dibuat bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Zulkarnain yang merupakan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Barisan Nasional (BN).

Laporan pertama dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu oleh Ketua Biro Undang-Undang Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd Ardy Nadzra.

“Kenyataan (Zulkarnain) yang menyatakan TYT membubarkan (DUN) dan menyebelahi Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal adalah tidak berasas.

“Kami menyatakan sekeras-kerasnya TYT tidak menyebelahi mana-mana pihak. Sebenarnya keputusan diambil TYT adalah demi kepentingan rakyat.

“Tuduhan TYT membubarkan DUN disebabkan imbuhan projek rundingan terus juga adalah satu tuduhan liar,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis itu.

Terdahulu pagi ini, Zulkarnain Mahdar dalam sidang akhbar di Putrajaya membuat pelbagai tuduhan terhadap Tun Juhar termasuk menggunakan kata-kata kesat ‘kepala hotak’.

Mohd. Ardy berkata, dakwaan menyatakan TYT bersifar berat sebelah kepada Mohd. Shafie kerana diberikan lanjutan tempoh pelantikan TYT juga adalah satu penghinaan kepada sistem pentadbiran negeri.

Katanya, lanjutan tempoh lantikan TYT diputuskan melalui DUN Sabah dan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong pindaan tempoh lantikan berkenaan.

Sementara itu, laporan polis kedua dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Penampang oleh Setiausaha Politik Ahli Parlimen Penampang, Pritchard Gumbaris.

Pritchard berkata, pihak berkuasa perlu membuka siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana tuduhan Zulkarnain itu secara terang-terangan menghasut rakyat untuk membenci seorang ketua negeri.

“Berdasarkan maklumat yang saya tahu, Tun Juhar mempunyai kuasa di bawah Fasal (2) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sabah untuk membubarkan DUN Sabah.

“Perlembagaan Negeri Sabah ini menjelaskan bahawa Yang Dipertua Sabah mempunyai kuasa penuh dan beliau bukanlah orang biasa yang boleh dilayan tanpa rasa hormat dan dipermainkan seperti dilakukan Zulkarnain,” katanya,

Sehubungan itu, beliau mendesak agar pihak polis menjalankan siasatan segera terhadap Zulkarnain dan mengambil tindakan mengikut undang-undang demi menjaga nama baik institusi Istana Negeri Sabah.

“Mengikut Seksyen Akta Hasutan 1948, Raja ertinya Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang diPertua Negeri mana-mana Negeri di Malaysia.

“Seksyen 3 (1)(a) Akta Hasutan 1948 menjelaskan kecenderungan menghasut ialah kecenderungan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan.

“Seksyen 3 (1)(b) pula menyatakan kecenderungan menghasut ialah bagi membangkitkan rakyat mana-mana Raja atau penduduk mana-mana wilayah yang diperintah oleh mana-mana Kerajaan supaya cuba mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara selain cara yang sah, apa-apa jua yang wujud menurut undang-undang di dalam wilayah Raja itu atau wilayah yang diperintah oleh Kerajaan itu,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *