Kes Pecah Masuk Bilik Sewa Di Likas Selesai Kurang 4 Jam

Dua suspek diberkas tidak sampai 4 jam melakukan jenayah pecah masuk sebuah bilik sewa di Likas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Polis hanya mengambil masa empat jam untuk mengesan dan menahan dua lelaki yang disyaki memecah masuk sebuah bilik sewa di Likas, Kota Kinabalu semalam.

Itu tempoh diperlukan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk menumpaskan dua penjenayah yang memecah masuk sebuah bilik sewa di Likas, di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 27 dan 28 tahun ditahan di sebuah hotel bajet di Kampung Air oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas melarikan pelbagai barangan yang dianggarkan bernilai RM4,200.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis menerima laporan kejadian berkenaan pada 7.28 pagi daripada mangsa.

Menurutnya, hasil siasatan awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya mengesan kelibat kedua suspek yang memasuki bilik sewa mangsa.

“Suspek dilihat mengambil telefon bimbit, wang tunai dan dokumen penting,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Habibi berkata, kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripadanya positif menggunakan dadah terlarang jenis metaphetamin.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *