PETALING JAYA: Parti Bersatu Sabah (PBS) membidas Pengerusi Tetap Warisan, Liew Vui Keong atas serangannya terhadap “katak politik” yang mengaitkan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman dan wakil rakyat bersekutu dengannya.
Naib Presiden PBS, Johnny Mositun berkata, kenyataan Liew lebih sesuai untuk Warisan, yang menerima ahli Upko selepas Pilihan Raya Umum 2018 untuk membolehkan Presiden Warisan, Shafie Apdal membentuk kerajaan negeri.
Liew mengkritik Musa cuba merampas kuasa daripada Warisan minggu lalu melalui pembelotan.
Mositun berkata, kenyataan Liew yang Musa cuba “merampas kerajaan tanpa malu dan maruah” serta penyokongnya adalah “katak politik” lebih sesuai dengan tindakan Warisan.
“Disebabkan Liew meletakkan tarafnya lebih tinggi daripada orang lain, saya ingin bertanya: Apakah tidak benar kumpulan dipimpin Warisan hanya memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya Mei 2018?
“Apakah tidak benar Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas pilihan raya itu?
“Apakah tidak benar Yang di-Pertua Negeri (kemudian) melantik Shafie, menggantikan Musa tanpa mengarahkan pilihan raya mengejut atau undi tidak percaya terhadap perkara itu?”
Mositun berkata, Liew tidak sepatutnya lupa selepas PRU14, Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau dilantik sebagai timbalan ketua menteri selepas menjadi Adun lantikan.
Beliau mengakui Shafie, sebagai ketua menteri, berhak memohon pembubaran DUN seperti dilakukannya minggu lalu, tetapi ini bukan isunya.
“Yang menjadi persoalan, mengapa standard sama tidak digunakan ketika Shafie dilantik menggantikan Musa?” soalnya.
Mositun berkata, timbul kebimbangan terhadap kehidupan rakyat akibat penularan Covid-19, beliau memberi contoh Hong Kong menangguhkan pilihan raya kerana lonjakan kes baru.- FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost